Kerangka Ekonomi Madani di landasan tepat tangani cabaran, taraf hidup rakyat

Iklan
Walaupun baru genap setahun pelancarannya, kerangka Ekonomi Madani telah mula menunjukkan keupayaan dalam menangani cabaran ekonomi. Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR - Walaupun baru genap setahun pelancarannya, kerangka Ekonomi Madani telah mula menunjukkan keupayaan dalam menangani cabaran ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Berbaki sembilan tahun lagi, rangka kerja itu, yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Julai, 2023, mempamerkan prospek cerah dengan inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan ekonomi Malaysia.

Iklan
Iklan

Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia, Dr Yeah Kim Leng berkata, sejak pelancarannya, prinsip Ekonomi Madani telah disepadukan ke dalam pelbagai rancangan nasional, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).

"Inisiatif ini menyediakan dasar dan strategi yang perlu, menawarkan hala tuju ekonomi yang lebih jelas dan kepastian dasar yang lebih mantap di bawah Kerajaan Perpaduan.

Iklan

"Memandangkan sektor swasta menyumbang lebih tiga suku daripada bahagian ekonomi, keyakinan sektor tersebut adalah syarat yang perlu untuk memulakan pertumbuhan seperti yang disasarkan dalam kerangka Ekonomi Madani," katanya kepada Bernama.

Kerangka Ekonomi Madani dan NIMP 2030

Iklan

Anwar, yang juga Menteri Kewangan menyifatkan inisiatif"Ekonomi Madani: Memperkasakan Rakyat" sebagai pelan menyeluruh untuk menangani daya saing, tarikan pelaburan dan isu-isu semasa yang mempengaruhi kehidupan rakyat.

Selain itu, kerangka tersebut juga dijangka membawa limpahan hasil kepada rakyat bagi membolehkan mereka menikmati kehidupan dengan lebih baik lagi.

Beliau berkata, inisiatif Ekonomi Madani menetapkan tujuh petunjuk prestasi utama sebagai sasaran jangka sederhana untuk dicapai dalam tempoh 10 tahun.

Tujuh petunjuk itu ialah Malaysia berada dalam kalangan 30 ekonomi terbesar dunia; 12 teratas dalam Indeks Daya Saing Global; pendapatan buruh membentuk 45 peratus daripada jumlah pendapatan; penyertaan wanita dalam tenaga kerja mencapai 60 peratus; 25 teratas dalam Indeks Pembangunan Manusia; 25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah dan mencapai kemampanan fiskal dengan defisit fiskal sebanyak tiga peratus atau lebih rendah.

Sementara itu, NIMP 2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada September tahun lepas, merupakan komponen utama Ekonomi Madani yang membantu dalam usaha merealisasikan pembaharuan ekonomi.

Sebagaimana ditekankan oleh Perdana Menteri sendiri, NIMP 2030 akan menghidupkan semula sektor pembuatan bagi memastikan negara kekal berdaya saing, di sebalik cabaran dan trend mega yang kian meningkat.

"NIMP 2030 ini dirangka bagi memacu trajektori Malaysia sebagai kuasa global dalam pembangunan industri, melebarkan hubungan domestik bagi mencipta kekayaan merentasi negara dan mengukuhkan kedudukannya dalam rangkaian nilai global,” kata beliau.

Malah, dalam tempoh tujuh tahun yang singkat, sebanyak empat misi telah dirangka di bawah NIMP 2030 bagi memacu transformasi industri dalam skala lebih besar -- memajukan ekonomi, membina sebuah negara berdaya maju dalam teknologi, mencapai pelepasan sifar bersih serta menjaga keselamatan dan keterangkuman ekonomi.

Anwar berkata misi itu akan disokong oleh empat pendaya bagi menangani cabaran sistemik dan institusi termasuk menangani cabaran pembiayaan, memupuk pembangunan dan pemerolehan tenaga kerja, menambah baik pengalaman pelabur dan meningkatkan mekanisme tadbir urus.

Mengotakan Janji

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menyifatkan kerajaan sekarang telah mengotakan janji dan turut mendapat pengiktirafan daripada komuniti pelaburan.

"Setakat ini, kita menyaksikan ekonomi berkembang pantas. Anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2024 berada pada 5.8 peratus yang jauh melebihi jangkaan ramai sebanyak 4.7 peratus.

"(Nilai) ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) mempunyai daya tarikan yang baik selepas mencecah paras RM4.79 pada 20 Feb, 2024 kepada paras semasa sekitar RM4.68 (22 Julai, 2024),” katanya.

Selain itu, langkah dua Agensi Penarafan Kredit (CRA) seperti S&P dan Fitch Ratings bertindak mengekalkan prospek stabil mereka terhadap penarafan berdaulat Malaysia manakala JP Morgan baru-baru ini menaikkan penarafan ke atas Malaysia daripada ‘underweight’ atau di bawah wajaran kepada ‘neutral.’

"Kerajaan kekal komited terhadap usaha konsolidasi fiskal seperti penyasaran subsidi diesel baru-baru ini dengan beberapa langkah berkaitan cukai (antaranya Cukai Perkhidmatan dinaikkan kepada 8.0 peratus daripada 6.0 peratus, Cukai Barangan Bernilai Rendah) yang sepatutnya membantu kerajaan mencapai defisit fiskal 4.3 peratus daripada KDNK pada 2024.

"Ini seperti satu (perlumbaan) maraton dan kita akan melihat keputusannya dalam jangka pertengahan sehingga jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata, sesi libat urus dengan pemain industri dan pelabur memberikan hala tuju yang jelas berkenaan dasar yang seterusnya berjaya menarik lebih banyak komitmen daripada pelabur asing.

"Pelaburan yang diluluskan meningkat 13 peratus kepada RM83.7 bilion pada suku pertama 2024 dengan komitmen daripada pelabur asing melonjak 23.8 peratus kepada RM47 bilion, menandakan pelabur asing melabur untuk jangka masa yang panjang,” katanya.

Felo Majlis Profesor Negara, Prof Dr Azmi Hassan berkata, beberapa inisiatif yang dilaksanakan kerajaan seperti NIMP 2030 untuk menyokong Rangka Kerja Ekonomi Madani telah berjaya meningkatkan pelaburan langsung asing dan domestik.

"Saya berpandangan terdapat peningkatan minat dari pelabur luar kerana mereka melihat keutamaan utama Perdana Menteri untuk membasmi rasuah dan ketidakcekapan. Jadi, pelabur asing tertarik dengan jaminan yang ditawarkan," katanya.

Banyak Lagi Yang Perlu Dilakukan Untuk Tingkat Rantaian PKS

Sementara itu, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) Datuk William Ng berkata, walaupun kerajaan Madani dan NIMP 2030 memberikan lebih tumpuan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS), namun, masih banyak yang perlu dilakukan bagi meningkatkan rantaian nilai PKS.

"Kami mendapati kebanyakan PKS pada masa ini terus menjadi pemain domestik yang kukuh tetapi kurang keupayaan untuk menjadi pemain serantau atau antarabangsa, akibatnya, banyak PKS berada pada tahap yang sama dan tidak dapat berkembang lebih jauh.

"Sudah tentunya, NIMP 2030 cuba menangani perkara ini dengan mencadangkan lebih banyak PKS dijalinkan ke rantaian bekalan global dan kemudiannya mengembangkan rangkaian tawaran kita agar kita boleh meningkatkan rantaian nilai kita,” katanya,

Bagaimanapun, beliau juga berkata NIMP 2030 lebih tertumpu kepada sektor pembuatan manakala 85 peratus daripada PKS berada dalam sektor perkhidmatan, yang berdepan cabaran seperti inflasi dan kenaikan kos menjalankan perniagaan.

"Kos utiliti, gaji, sewa telah meningkat hampir dua kali ganda di beberapa pasaran. Meskipun perniagaan dilihat sedang meningkat tetapi terdapat jurang margin yang besar.

"Justeru, langkah-langkah perlu dilaksanakan menerusi kerangka Ekonomi Madani untuk memastikan kelangsungan PKS,” katanya. - Bernama