SKUAD bola sepak Bawah 19 tahun negara (B-19) dituntut mengekalkan persembahan positif apabila berdepan Thailand dalam perlawanan terakhir Kumpulan C Kejuaraan Piala ASEAN B-19 2024 di Stadium Bung Tomo, Surabaya pada Khamis.
Mengakui semangat pemain-pemain Harimau Muda B-19 berada pada tahap terbaik, pengendali Juan Torres Garrido juga mahu anak buahnya memanfaatkan sepenuh peluang beraksi di pentas tertinggi karier bola sepak mereka.
"Ya, semangat pemain-pemain berada pada tahap bagus, dua kemenangan awal sebelum ini juga satu motivasi buat mereka untuk berdepan pasukan seperti Thailand.
"Dalam kejuaraan ini sejak dari awal, kita mengambil satu perlawanan ke satu perlawanan, dan pemain-pemain yang diturunkan berjaya melaksanakan tugasan diberikan dalam padang.
"Dan berdepan Thailand, sekali lagi kita mahu pemain-pemain melupakan dua kemenangan lalu, sebaliknya meningkatkan kualiti permainan masing-masing bagi memburu keputusan positif," katanya.
Mengenai percaturan taktikal berdepan skuad Gajah Perang Muda kendalian Emerson Pereira da Silva, Garrido berkata:"Kita akan melakukan percaturan taktikal yang sama bagi memastikan pasukan sentiasa dapat membentuk keseimbangan sepanjang beraksi dalam kejuaraan ini.
"Berdepan Thailand, kita akan tampilkan barisan kesebelasan terbaik selain memastikan pemain-pemain gantian juga bersedia menampilkan sesuatu untuk pasukan setiap dimasukan apabila tiba giliran."
Malaysia kini memimpin Kumpulan C dengan enam mata diikuti Thailand (enam mata, dibezakan jaringan), manakala Singapura ketiga dan Brunei keempat.
Harimau Muda B-19 yang tampil dengan status penyandang juara membuka gelanggang di Surabaya dengan kemenangan 11-0 ke atas Brunei diikuti kemenangan 5-0 terhadap Singapura.
Sementara anak buah da Silva pula menyingkap kempen dengan kemenangan 2-1 kelab atas Singapura sebelum membelasah Brunei 6-0.