KUANTAN - Seorang ibu tunggal memerlukan RM10,000 bagi menampung kos pembedahan anak lelaki berusia sembilan tahun yang menghidap masalah jantung.
Nurliatul Hasni Muhammad, 29, berkata, pembedahan anaknya, Muhammad Ammar Solihin Abdul Rahman dijadualkan pada 31 Julai ini di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.
Menurutnya, dalam tempoh yang semakin suntuk, dia kini hanya mampu mengumpul RM5,000 termasuk sumbangan daripada beberapa pihak sedangkan kos bagi pembedahan itu dianggarkan mencecah RM15,000.
"Saya hanya bergantung dengan pendapatan kira-kira RM850 sebulan sebagai penjaga sebuah rumah penginap berhampiran, sudah pasti tidak mampu untuk menyediakan wang sebanyak itu dalam tempoh singkat.
"RM15,000 itu hanya untuk kos pembedahan tidak termasuk perbelanjaan lain semasa di sana," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Batu Hitam di sini pada Rabu.
Nurliatul Hasni berkata, anak tunggalnya itu mengalami masalah injap jantung sempit sejak lahir dan pernah menjalani pembedahan kira-kira lima tahun lalu.
"Keadaan injap jantungnya kini semakin sempit dan hasil pemeriksaan di IJN minggu lalu, doktor sarankan agar pembedahan perlu dilakukan secepat mungkin.
"Keadaan kesihatannya kini semakin merosot apabila sesetengah anggota tubuhnya menjadi kebiruan bila agak kepenatan selain gangguan pernafasan," kata wanita kematian suami akibat kemalangan kira-kira sembilan tahun lalu.
Katanya lagi, walaupun berdepan kesukaran ekoran penyakit dihadapi, Muhammad Ammar Solihin yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Karang di sini masih dapat ke sekolah seperti biasa.
"Cuma dia tidak boleh mengikuti aktiviti kecergasan atau bersukan seperti rakan-rakan lain.
"Allhamdulillah, guru-guru memahami keadaan kesihatannya dan sentiasa memberi perhatian sepanjang dia berada di sekolah," ujarnya.
Tambah Nurliatul Hasni, anaknya itu berkemungkinan akan menjalani pembedahan sekali lagi lima atau enam bulan akan datang bergantung kepada perkembangan keadaan jantungnya selepas pembedahan kali ini.
"Kos pembedahan akan datang lebih tinggi mungkin mencecah RM100,000.
"Sesusah mana sekali pun, saya akan tetap berusaha memastikan dia (Muhammad Ammar Solihin) mendapatkan rawatan seperti disarahkan doktor.
"Tiada apa yang saya lebih harapkan selama sembilan tahun ini selain melihatnya sihat dan aktif seperti kanak-kanak lain," ujarnya yang turut menjaga anak saudara kurang upaya (autisme) berusia 10 tahun dan seorang abang berusia 43 tahun menghidap masalah kulit.
Nurliatul Hasni yang kini tinggal menyewa dengan bayaran RM500 sebulan termasuk elektrik dan air juga mungkin terpaksa mencari rumah lebih selesa selepas anaknya menjalani pembedahan atas saranan doktor.
"Walaupun satu bebanan, saya akan cuba sedaya upaya menyediakannya demi Muhammad Ammar Solihin," ujarnya
Orang ramai yang berhasrat untuk membantu boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun CIMB Bank 7035507512 (Nurliatul Hasni Muhammad).