Buruh tipu bantuan e-Kasih didakwa lagi

Iklan
Muhammad Halmi dibawa keluar selepas selesai prosiding di Mahkamah Majistret Lenggong pada Khamis.

LENGGONG - Seorang buruh yang dihukum penjara dan sebat kerana menipu menggunakan nama bantuan e-Kasih sekali lagi didakwa atas pertuduhan sama di Mahkamah Majistret Lenggong pada Khamis.

Tertuduh, Muhammad Halmi Ismail, 49, dikenakan hukuman penjara 42 bulan dan lima sebatan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.

Iklan
Iklan

Bapa empat anak itu bagaimanapun hanya perlu menjalani penjara dua tahun kerana hukuman penjara itu berjalan serentak selepas tamat tempoh pemenjaraan di Alor Setar dan Ipoh.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memperdayakan dua lelaki berusia 73 tahun dan 62 tahun untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM900 bagi tujuan pendaftaran akaun e-Kasih yang tidak wujud yang mana mangsa tidak akan menyerahkan jika tidak diperdayakan sedemikian.

Iklan

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda.

Dalam prosiding itu, kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Iklan

Sebelum ini media melaporkan suspek menyamar sebagai pegawai bantuan, meminta wang daripada mangsa kononnya bagi proses permohonan sebelum melarikan diri.

Itu antara modus operandi dilakukan dalam kes penipuan menggunakan nama bantuan e-Kasih yang dikesan di negeri ini sejak Januari hingga Jun lalu melibatkan kerugian lebih RM16,000.

Susulan itu, polis berjaya memperoleh 36 pertuduhan ke atas tertuduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 417 kanun sama.

Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara 21 tahun dua bulan dan 14 sebatan terhadap tertuduh.