SABAK BERNAM - Peniaga pisang goreng yang didakwa atas pertuduhan menculik dua kanak-kanak perempuan di Jeram melakukan perbuatan itu kerana menginginkan anak perempuan.
Tertuduh, Mohamad Shahriza Othman, 31, memaklumkan alasan itu kepada Muhd Muqri Mohd Khairi dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (JBG) semasa prosiding kes itu di Mahkamah Majistret Sungai Besar pada Khamis.
Menurut Muhd Muqri, tertuduh yang melarikan dua kanak-kanak itu memberi alasan berbuat demikian kerana tidak mempunyai anak perempuan.
"Saya dimaklumkan tertuduh hanya mempunyai dua anak lelaki dan belum ada rezeki memiliki anak perempuan.
"Tertuduh sebelum ini tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan ini merupakan kesalahan pertama dan percaya dia telah insaf," katanya.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 19 Julai lalu kira-kira jam 6.30 petang di Nombor 2, Jalan Ikan Emas 2, Taman Ikan Emas di Jeram telah menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan dan enam tahun dari penjaganya yang boleh dihukum di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan (KK) iaitu penjara selama tempoh tujuh tahun dan boleh juga didenda.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah melarikan dua kanak-kanak perempuan yang sedang bermain di hadapan rumah dengan menaiki kereta jenis Perodua Bezza.
Tertuduh mengajak kedua-dua mangsa menemaninya untuk menghantar surat sambil memberikan wang tunai RM50 sebagai upah.
Mangsa telah mengikut tertuduh ke kedai runcit dan mengajak berjalan-jalan sekitar Jeram dan singgah di rumahnya (tertuduh) sebelum menghantar semula mangsa kira-kira jam 7.45 malam.
Terdahulu, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan hadapan Majistret, Siti Hajar Ali.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Sofea Jaysal memohon tindakan setimpal berikutan kes penculikan yang semakin meningkat yang akan mempengaruhi dan mengancam keselamatan awam.
Siti Hajar memutuskan tertuduh didapati bersalah dan dihukum penjara 24 bulan daripada tarikh sabitan dan juga denda keseluruhan RM2,000 dan jika tidak bayar sebulan penjara.
"Alasan saya mendapati tindakan tertuduh mengaku salah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jelas dia telah menzahirkan kekesalan dan keinsafan.
"Hukuman yang dijatuhkan mahkamah ini haruslah bersifat faktor kepentingan awam diutamakan agar memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam bahawa kesalahan menculik amat serius dan semakin berleluasa," tambah beliau
Sinar Harian pada Sabtu lalu melaporkan, dua kanak-kanak perempuan berusia enam dan lapan tahun yang dilaporkan hilang ditemui dalam keadaan selamat selepas dipercayai dilarikan seorang lelaki dengan menaiki sebuah kereta Perodua Bezza di Jeram, pada Jumaat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintenden Polis, Mohd Ambia Nordin berkata, polis menerima maklumat kejadian itu daripada ibu mangsa pada jam 6.30 petang
Sebelum ini tular di media sosial berhubung kehilangan dua kanak-kanak, yang didakwa diculik lelaki menaiki kereta jenis Perodua Bezza.