1,671 polis dibuang kerja - Bukit Aman

Iklan
Azri (depan tengah) pada Majlis Sambutan 1 Dekad Penubuhan JIPS di Bukit Aman di Bukit Aman pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Seramai 1,671 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibuang kerja dalam tempoh 10 tahun.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, sejak penubuhan jabatan pada tahun 2014, JIPS telah membuka dan melaksanakan siasatan tatatertib melibatkan sebanyak 40,436 Kertas Siasatan Tatatertib (KST) dan Kertas Enkuiri Tatatertib (KET).

Iklan
Iklan

Menurutnya, seramai 15,546 pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis telah dijatuhkan dengan pelbagai hukuman tatatertib.

"Daripada jumlah itu, seramai 1,671 daripadanya telah dijatuhkan hukuman buang kerja.

Iklan

"Siasatan tatatertib yang telus dan tindakan punitif sebegini adalah antara pendekatan kepada kesungguhan PDRM mengawal salah laku warga pasukan," katanya pada Majlis Sambutan 1 Dekad Penubuhan JIPS di Bukit Aman di sini pada Khamis.

Azri (dua dari kanan) semasa Majlis Sambutan 1 Dekad Penubuhan JIPS di Bukit Aman.

Dalam pada itu, tambahnya, bagi pelaksanaan teras pematuhan, daripada masa ke masa seramai 10,000 hingga 20,000 warga PDRM dipantau dan diperiksa secara langsung oleh Cawangan Pematuhan JIPS Bukit Aman.

Iklan

Jelasnya, keutamaan adalah ke atas petugas barisan hadapan yang berurusan secara langsung dengan masyarakat bagi memastikan mereka melaksanakan tugas dengan mematuhi undang-undang, peraturan, arahan dan prosedur operasi standard (SOP).

"Untuk rekod, sepanjang tahun 2023 sahaja secara keseluruhan seramai 19,352 pegawai dan anggota diperiksa dan seramai 1,396 dikesan melakukan pelbagai salah laku.

"Bagi tempoh enam bulan tahun ini setakat Jun, 689 pegawai dan anggota dikesan melakukan pelbagai salah laku hasil pemeriksaan 11,221 individu," katanya.

Tegasnya, mana-mana pegawai yang dikesan melakukan salah laku akan diambil tindakan sewajarnya.

Kata Azri lagi, Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) JIPS turut memainkan peranan besar di dalam membimbing hal-hal agama, sosial, psikologi dan memberikan khidmat kaunseling dengan fokus melahirkan warga PDRM yang berkualiti.