Kes sindiket jenayah komersial pertama kena SOSMA - Bukit Aman

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) kali pertama menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dalam siasatan kes jenayah komersial.

Tindakan itu membabitkan sindiket jenayah terancang dikenali 'Heist Syndicate' yang membuat pengeluaran wang daripada akaun simpanan tetap milik pelanggan bank.

Iklan
Iklan

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, keputusan untuk menggunakan SOSMA dalam siasatan kes ini dibuat setelah mendapati pelakuan yang dilakukan sindiket adalah satu jenayah terancang dan serius sehingga mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.

Menurutnya, siasatan kes ini bermula pada 28 Jun lalu dan berakhir pada 22 Julai.

Iklan

"Tindakan siasatan telah menyaksikan penggemblengan tenaga melibatkan lebih 50 pegawai kanan dan pegawai rendah polis yang bertindak di dalam pasukan-pasukan kecil.

"Ia melibatkan kejituan penyelarasan di semua peringkat dan sinergi setiap pasukan petugas dengan Jabatan Peguam Negara sehingga membawa ke pertuduhan hari ini (Khamis)," katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini pada Khamis.

Iklan

Tambahnya, kejayaan pasukan siasatan sehingga membawa kepada pertuduhan merupakan permulaan kepada dimensi baharu siasatan jenayah komersial.

"Saya yakin, ini juga akan menjadi titik permulaan kepada lebih banyak kejayaan siasatan JSJK pada masa akan datang.

"Saya merakam penghargaan kepada pasukan JSJK Bukit Aman, JSJK Kontinjen Sabah serta Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara atas usaha gigih serta komitmen sepanjang siasatan kes ini dilaksanakan," ujarnya.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan pertuduhan 10 individu di Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah, yang terlibat dalam jenayah terancang untuk mengeluarkan wang dari akaun simpanan tetap milik pelanggan sebuah bank.

Kesemua mereka dituduh di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan atas kesalahan menganggotai suatu kumpulan jenayah terancang yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun jika sabit kesalahan.

Pertuduhan terhadap mereka diperoleh setelah siasatan berjaya membuktikan kegiatan mereka merupakan satu ancaman yang memudaratkan ketenteraman awam.

Pada Jun lepas, media melaporkan seorang petugas bank ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan wang dari akaun simpanan tetap melibatkan kerugian lebih RM24 juta.