SIBS platform Selangor kekalkan prestasi pelaburan terbesar negara

Iklan
Amirudin (tengah) bersama Tengku Zafrul (dua dari kanan) menyempurnakan majlis perasmian SABC ke-8 pada Khamis

KUALA LUMPUR - Selangor fokus mengekalkan prestasinya sebagai antara penyumbang pelaburan terbesar negara menerusi penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024.

SIBS sesi pertama berlangsung selama tiga hari hingga Sabtu ini akan menampilkan Persidangan Perniagaan Asean Selangor (SABC) dan Ekspo Taman Perindustrian Selangor (SPARK).

Iklan
Iklan

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, suku pertama tahun ini, Selangor berada di tempat ketiga dengan pelaburan sebanyak RM12 bilion.

Menurutnya, tahun lepas, Selangor berada di tempat kedua mencatat RM55 bilon secara keseluruhan.

Iklan

"Kita sentiasa dalam sasaran untuk mengekalkan jumlah pelaburan besar dan mencipta peluang ekonomi yang signifikan kepada rakyat.

"Melalui SIBS ini, ia menjadi peluang ekonomi Selangor dan Malaysia untuk berkembang dan ruang kepada pempamer ke arah pintu gerbang Asian," katanya selepas perasmian pembukaan SABC ke-8 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Khamis.

Iklan

Majlis perasmian itu turut dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

SIBS sesi pertama akan berlangsung serentak menghimpunkan lebih 285 pempamer termasuk dari negara luar.

Amirudin berkata, setiap tahun SIBS menjemput delegasi dari negara Asian untuk membincangkan fungsi dan potensi pelaburan ke arah pemberdayaan ekonomi selain peluang potensi pelaburan serantau termasuk Malaysia.

Ujarnya, terdapat 'mega trend' yang berkait dengan Malaysia antaranya di Selangor sendiri membabitkan digitalisasi, tenaga hijau yang semua itu telah dimasukkan didalam kerangka Rancangan Selangor Pertama (RS1).

"Tumpuan kita mahu menarik pelabur datang ke Malaysia khususnya Selangor selain membuka ruang kepada negeri-negeri lain mencipta peluang ekonomi.

"Contohnya sektor industri bukan hanya di Selangor tetapi Negeri Sembilan dan Kedah turut hadir mempamerkan kawasan baharu yang mereka sasarkan sebagai kawasan industri," katanya.

Tambahnya, Selangor gembira dapat berkongsi peluang pelaburan dengan negeri-negeri lain yang turut menawarkan tempat strategik pelaburan

"Persidangan ini bukan hanya pameran barang perniagaan tetapi sokongan terhadap industri, pelaburan di Selangor dan negeri-negeri lain.

"Sempena Malaysia sebagai Pengerusi Asian tahun depan, Selangor bersedia berkolobrasi MITI serta kementerian-kementerian luar negara menerusi program bermanfaat untuk perkembangan sektor ekonomi khususnya di Selangor," katanya.