SHAH ALAM - Permohonan kad pengenalan diri kanak-kanak bercip (MyKid) akan dibuka semula di semua pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bermula Isnin depan.
JPN menerusi kenyataan berkata, permohonan itu boleh dibuat setelah ditangguhkan sementara pengeluarannya berikutan kekurangan bekalan cip bagi kad mentah tersebut.
"Bagi yang telah membuat permohonan sebelum ini (mempuyai resit permohonan MyKid) tetapi cetakannya ditangguhkan, pemohon perlu melakukan pengesahan cetakan di portal rasmi JPN (www.jpn.gov.my) sebelum hadir membuat kutipan di pejabat yang telah dipilih.
"Tempoh semakan adalah tiga bulan bermula 29 Julai sehingga 31 Oktober 2024. Selepas tempoh ini, status permohonan MyKid akan terbatal dan permohonan baharu perlu dibuat semula," menurut kenyataan itu pada Khamis.
Dalam pada itu JPN turut meminta kerjasama pemohon bagi memastikan MyKid yang dicetak dituntut, sekali gus mengelakkan lambakan MyKid yang akan merugikan pihak kerajaan.
Sebelum ini Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias dilapor berkata, isu cetakan MyKid yang tertunggak akibat masalah perolehan bekalan mikrocip semasa pandemik Covid-19 lalu dijangka dapat diselesaikan pada Julai secara berperingkat di seluruh negara.
Ia sekali gus menyelesaikan 136,238 permohonan MyKid yang tertunggak dengan 135,459 permohonan bagi tahun 2023 dan 779 permohonan bagi 2024 setakat Mac lalu.
Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat JPN di talian 03-88807077 atau emel ke pro@jpn.gov.my.