[DIKEMAS KINI] SELEPAS 14 tahun bersama, pelawak, Harith Iskander dan isterinya, Dr Jezamine Lim bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur pada Khamis.
Peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Jezamine selaku plantif berkata, Hakim Syarie, Siti Noraini Mohd Ali mengesahkan perceraian tersebut pada prosiding yang berlangsung secara tertutup.
"Hakim mengesahkan lafaz cerai secara bersama dan mahkamah benarkan suami (Harith) melafazkan cerai dan ia direkodkan pada jam 12.05 tengah hari.
"Selain itu, permohonan nafkah anak juga telah diselesaikan cara baik dan mahkamah telah benarkan,” katanya ketika ditemui pemberita.
"Sememangnya saya sedih, tetapi secara peribadi kami berdua bersetuju dengan perceraian ini dan kita perlu ‘pandang ke hadapan’, bukan untuk kita sendiri tetapi demi anak-anak.
"Selepas ini kita akan meneruskan kerja seperti biasa kerana mempunyai beberapa syarikat bersama dan kita masih berkawan, cuma bukan sebagai pasangan suami isteri,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.
Sementara itu, menyentuh isu hadanah (hak penjagaan anak-anak), Akberdin berkata, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menetapkan 31 Julai ini untuk pengurusan kes.
Pada 8 Julai lalu, Dr Jezamine memfailkan permohonan cerai di sini, terhadap Harith mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 atas alasan tiada persefahaman.
Harith dan Dr Jezamine mendirikan rumah tangga pada 12 Jun 2010 dan dikurniakan tiga anak iaitu Zander Xayne, 14, Alessandra Jayne, 11, dan Zydane Zayne yang kini berusia sembilan tahun.