Tiga sindiket curi kenderaan mewah, pacuan empat roda tumpas

Iklan
Kumar menunjukkan beberapa kereta mewah yang dirampas dalam Ops Lejang selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru pada Khamis.

JOHOR BAHRU - Polis menumpaskan tiga sindiket curi kenderaan mewah termasuk kenderaan pacuan empat roda selepas memberkas lapan individu dalam Ops Lejang bermula 21 Jun hingga 21 Julai lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, lapan suspek lelaki berusia antara 27 hingga 49 tahun itu merupakan dalang dan ahli sindiket menyasarkan kenderaan-kenderaan mewah dan pacuan empat roda berkenaan untuk dijual di pasaran gelap luar negara.

Iklan
Iklan

"Modus operandi sindiket ini adalah dengan menggunakan sejenis alat dipanggil 'programmer' untuk menghidupkan enjin mana-mana kenderaan.

"Mereka juga akan menggunakan alat dipanggil 'jammer' untuk mematikan semua peralatan GPS dan sebagainya dalam masa 30 saat sahaja sebelum mereka melarikan kenderaan berkenaan.

Iklan

"Sindiket ini aktif sejak lima hingga enam bulan dan selalunya bergerak dalam kumpulan dua atau tiga orang dan menggunakan kereta yang disewa," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.

Beliau berkata, berdasarkan statistik dari Januari lalu hingga kini, jumlah kehilangan kenderaan mewah dan pacuan empat roda di kontinjen itu berjumlah 69 buah dengan kerugian RM8.8 juta.

Iklan

Menurutnya, kenderaan mewah serta pacuan empat roda berkenaan mempunyai permintaan di pasaran luar negara.

"Antara sasaran sindiket bagi pacuan empat roda adalah Toyota Hilux, Toyota Alphard, Toyota Vellfire dan Toyota Fortuner, katanya.

"Kenderaan curi ini akan dihantar ke negara jiran menggunakan jalan darat. Sebuah kenderaan dianggar dijual antara RM30,000 hingga RM40,000," ujarnya.

Kumar berkata, tiga sindiket itu antara lapan kumpulan sindiket curi kenderaan yang ditumpaskan polis Johor dalam Ops Lejang yang dilancarkan di seluruh Johor

Katanya, selainitu turut ditumpaskan adalah dua kumpulan curi kereta lama tempatan dengan enam tangkapan dan tiga kumpulan curi motosikal tempatan dengan 10 tangkapan.

Sepanjang operasi dijalankan katanya, seramai 110 warga tempatan dan enam warga asing berjaya ditangkap atas pelbagai kesalahan membabitkan 112 lelaki dan empat wanita berusia antara 16 hingga 59 tahun.

Ujarnya, sebanyak 81 kenderaan dirampas dalam operasi itu terdiri daripada 25 kereta, sebuah van, empat lori, 51 motosikal dan 13 rangka motosikal selain turut merampas 30 komponen kenderaan dan pelbagai peralatan curi kenderaan.

"Peralatan yang kita rampas ini adalah satu tren baru yang digunakan sindiket-sindiket ini," katanya.