Syarikat kurangkan gula dalam produk akan diberi pengiktirafan

Iklan
Dr Dzulkefly. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) akan memberi pengiktirafan ‘Healthy Choice’ kepada syarikat yang mengurangkan kandungan gula dalam produk mereka sebagai sebahagian kempen ‘perang ke atas gula’.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, adalah mustahak mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan rakyat Malaysia kerana ia antara penyebab utama peningkatan berat badan yang menjerumuskan kepada pelbagai penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti obesiti dan kencing manis.

Iklan
Iklan

"Dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, satu matriks tidak menunjukkan penurunan iaitu berat badan yang tinggi.

"Punca utama adalah berkait pengambilan gula, ini antara sebab KKM merancang satu program untuk isytihar perang ke atas gula. Belum buat pelancaran tetapi kami telah susun pogram ini,” katanya pada sesi Soal Jawan Lisan di Dewan Negara pada Khamis.

Iklan

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk A Kesavadas yang ingin tahu pendekatan holistik KKM dalam mengawal pengambilan gula dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pada 16 Mei lepas, Dzulkefly berkata KKM akan melancarkan 'perang' ke atas gula dalam tempoh terdekat sebagai usaha kerajaan mengurangkan peningkatan NCD dalam kalangan rakyat di negara ini.

Iklan

Berdasarkan data NHMS 2023, kira-kira setengah juta atau 2.5 peratus individu dewasa menghidap empat penyakit NCD termasuk obesiti serta kencing manis, namun satu daripada dua rakyat Malaysia dikenal pasti menghadapi obesiti dan berat badan berlebihan.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, kementerian sedang meneliti mekanisme untuk meningkatkan akses kepada saringan pantas kandungan gula dalam darah bagi membolehkan rakyat mengenal pasti jika perlu mendapatkan rawatan lebih awal.

"Pengawalan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes adalah sangat penting kerana ia sepanjang hayat, kronik dan tidak akut. Justeru, perang ke atas gula ini satu perkara yang kita harus lakukan,” katanya.

Dzulkefly berkata dalam mengemudi KKM, beliau memberi fokus terhadap penyediaan akses kemudahan kesihatan preventif sebagai langkah awal menangani penyakit serta mempromosikan kepentingan menjaga kesihatan.

"Penekanan akan diberikan kepada langkah pencegahan di peringkat awal. Kita tahu NHMS 2023 tidak memberi pengiktirafan kepada usaha-usaha kita selama ini.

"(Dapatan NHMS 2023 menunjukkan) penyakit kencing manis menurun sedikit tetapi hipertensi dan kolestrol tinggi masih pada paras agak tinggi,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Dr A. Lingeshwaran mengenai tindakan KKM susulan dapatan NHMS 2023 menunjukkan terdapat kegagalan dalam mengawal morbiditi. - Bernama