KUALA LUMPUR - Bukan datang sebagai pelancong, sebaliknya masuk ke negara ini untuk melakukan kerja dengan menawarkan kegiatan maksiat.
Itu antara modus operandi yang dikesan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur hasil serbuan Ops Gegar di sebuah premis refleksologi di Kepong, kira-kira jam 10.15 malam pada Rabu.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan susulan aduan awam berhubung kegiatan maksiat yang berselindung di sebalik premis refleksologi itu bertindak menahan empat wanita warga Thailand.
Katanya, turut ditahan seorang lelaki tempatan yang merupakan penjaga premis.
"Premis berada di tingkat dua dan dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) di pintu masuk.
"Empat wanita yang ditahan didapati sering keluar masuk ke Malaysia melalui pintu masuk di utara berdasarkan cap-cap JIM (pada pasport),” katanya selepas operasi terbabit di sini.
Beliau berkata, modus operandi wanita berusia lingkungan 30 hingga 53 tahun itu adalah menggunakan pas pelancong dan akan pulang ke negara asal sebelum tamat tempoh 30 hari dibenarkan untuk tinggal di Malaysia.
Menurutnya, selepas pulang ke negara asal warga asing terbabit akan masuk semula ke Malaysia menggunakan pas pelancong di mana helah ini sudah dikesan pihak JIM yang dikenali sebagai taktik u-turn.
"JIM Kuala Lumpur memberikan peringatan tegas kepada pelancong yang masuk supaya tidak menyalahgunakan pas dan tidak melakukan aktiviti melanggar undang-undang," ujarnya.
Mengenai operasi itu, JIM Kuala Lumpur menerima aduan menyatakan ketidakselesaan penduduk berhubung kegiatan penawaran aktiviti seks di sebalik rumah urut ini.
Dalam pada itu, seorang wanita Thailand berusia 50-an mendakwa sudah lama bercerai dan terpaksa mencari wang dengan melakukan kegiatan tidak bermoral bagi menyara kehidupan.
Kata wanita itu, dia mengambil bayaran tambahan hingga ratusan ringgit sekiranya pelanggan mahukan 'khidmat' tambahan.