BEKERJA di pejabat yang sama dengan orang bukan Islam menjadi perkara biasa bagi masyarakat di negara ini.
Lazimya, setiap kemudahan yang disediakan di pejabat akan digunakan secara bersama-sama tidak kiralah peralatan atau perkakasan pejabat, kafe dan tandas.
Begitu juga dengan kemudahan pantri yang disediakan khas oleh majikan buat kakitangan mereka.
Apabila membicarakan tentang pantri yang barangkali hanya ada satu kemudahan sahaja di pejabat itu, ia sedikit menggusarkan hati segelintir orang Islam yang makan gaji di situ.
Bolehkah mereka berkongsi peralatan seperti pinggan, mangkuk dan span yang telah digunakan oleh rakan sekerja bukan Islam?
Barangkali rakan sekerja bukan Islam itu menggunakan span tadi untuk mencuci pinggan atau cawannya selepas makan dan minum yang tidak halal.
Apakah hukumnya apabila kita menggunakan perkakasan tersebut?
Sebelum merungkaikan jawapannya, fahamilah bahawa khinzir merupakan najis 'ain dan perlu disamak sebanyak tujuh kali dengan salah satu daripadanya menggunakan basuhan air tanah.
Ia berdasarkan Mazhab Syafie apabila sesuatu itu terkena dengan najis khinzir berkenaan.
Dalam perihal bekas yang disangka pernah digunakan oleh orang bukan Islam untuk makan makanan yang haram seperti khinzir, ada perbezaan dengan najis tersebut.
Dalam al-Fiqh al-Manhaji menyebut:"Adalah harus menggunakan bekas orang kafir."
Ia berdasarkan hadis daripada Abu Tha’labah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Basuhlah bekas tersebut dan makanlah dengannya.” (Riwayat al-Bukhari)
Kenapa kita diperintahkan untuk membasuh bekas tersebut?
Sebenarnya, perintah membasuh itu adalah sunat kerana ia mungkin telah tercemar disebabkan orang bukan Islam menggunakannya untuk minum arak atau makan khinzir dan sebagainya.
Demikian juga hukum menggunakan pakaian orang bukan Islam dan seumpamanya yang mana hukumnya sama dengan hukum menggunakan bekas mereka.
Justeru, usah khuatir jika kita ingin menggunakan pinggan atau mangkuk yang telah digunakan oleh rakan sepejabat bukan Islam.
Basuhlah perkakasan itu terlebih dahulu dan gunakanlah tanpa waswas.
(Sumber: Portal rasmi kemusykilan agama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)