'Tak berfakta, hanya lontaran politik tak bertanggungjawab' - Anwar

Iklan
Anwar

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak dakwaan pembangkang yang mengatakan dirinya tidak konsisten dalam mengeluarkan kenyataan berhubung hutang negara.

Beliau berkata, pihaknya turut menafikan dakwaan bahawa dasar kewangan, fiskal dan belanjawan dilihat mengekang atau tidak memenuhi pelbagai tuntutan.

Iklan
Iklan

"Tetapi, apa yang diuar-uarkan sebahagiannya tidak berdasarkan fakta, itu hanya lontaran politik tidak bertanggungjawab.

"Saya berikan angka-angka ini (defisit fiskal negara 2021 hingga 2024) dan ia dipertahankan dari sudut kebenarannya.

Iklan

"Kementerian Kewangan (MOF) memang mengeluarkan data-data ini bersama Jabatan Statistik Negara dari semasa ke semasa," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rosol Wahid mendakwa, ketika menjadi pembangkang, Anwar lantang mengkritik kerajaan apabila hutang negara meningkat.

Iklan

Bagaimanapun, katanya, Ahli Parlimen Tambun berkenaan dilihat tidak konsisten dengan pendirian apabila turut melakukan tindakan yang pernah dibantahnya dengan menambahkan jumlah hutang selepas menerajui kerajaan.

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan, keutamaan kerajaan ketika ini adalah mengurangkan hutang negara yang diwarisi kepimpinan sebelumnya iaitu mencecah RM1.5 trilion.

Tambah beliau, langkah yang diambil adalah menurunkan kadar pinjaman bersih daripada RM100 bilion pada 2021 dan 2022 kepada RM93 bilion serta Mm86 bilion pada 2023 dan 2024.

"Tetapi, kenapa tidak boleh terus batalkan hutang? Ia akan menjejaskan projek bantu rakyat, sekolah atau universiti baharu dan juga pembangunan, termasuk tanggungan membayar hutang lama.

"Tanggungan hutang tinggi, sekarang ini 64 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Jumlah ini memang melebihi daripada apa yang kita rasakan membantu untuk menambat keyakinan pelaburan asing mahupun domestik.

"Sasaran kita adalah menurun secara berperingkat kepada sekurang-kurangnya 60 peratus," ujar Anwar lagi.