Operasi pembenihan awan di Tasik Taiping tidak mendesak

Iklan
Kerajaan negeri Perak memutuskan tiada keperluan mendesak untuk melaksanakan pembenihan awan di Tasik Taiping. Gambar hiasan

IPOH - Kerajaan negeri Perak memutuskan tiada keperluan mendesak untuk melaksanakan pembenihan awan di Tasik Taiping yang kering akibat cuaca panas ketika ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keutamaan bagi pembenihan awan akan diberikan kepada Tasik Bukit Merah kerana ia digunakan untuk tujuan pengairan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Tasik Taiping hanyalah merupakan kawasan rekreasi dan jika pembenihan awan dilaksanakan memerlukan kos yang tinggi.

"Di Tasik Bukit Merah, kita sudah memohon kementerian berkaitan untuk melakukan pembenihan awan kerana kita perlu selamatkan aktiviti pertanian di kawasan berhampiran," katanya kepada pemberita selepas program Townhall Wanita Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya di sini pada Khamis.

Iklan

Hadir sama pada program tersebut, Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.

Saarani berkata, Tasik Bukit Merah perlu dipenuhkan menggunakan sumber air dari luar dan tidak boleh mengharapkan telaga pengeluaran air bawah tanah di Loji Rawatan Air (LRA) Gunung Semanggol.

Iklan

Menurutnya, operasi LRA tersebut di bawah kendalian Lembaga Air Perak (LAP) dan hanya mampu menampung untuk kegunaan domestik di sekitar kawasan berhampiran sahaja.

Media sebelum ini melaporkan keadaan Tasik Taiping yang kering sehingga menampakkan dasarnya akibat cuaca panas dengan keadaan tanah turut mengalami rekahan.