KUALA LUMPUR - Jalan Alor, Bukit Bintang yang dikenali 'syurga makanan' buat pelancong asing diserbu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam operasi dijalankan pada Rabu.
DBKL memaklumkan, penguatkuasaan dijalankan di bawah tindakan khas pindah halangan menumpukan perniagaan dijalankan penjaja warga asing.
Menurutnya, sebanyak 16 penjaja telah dikenakan tindakan sita serta-merta di bawah Undang-undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.
"Daripada jumlah itu, 15 penjaja warga asing dikesan berniaga tanpa menggunakan lesen perniagaan yang sah.
"Tindakan turut diambil terhadap seorang penjaja tempatan dikenakan notis di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974," katanya menerusi kemas kini di Facebook pada Khamis.
Katanya, semua barangan yang diambil tindakan pindah halangan telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk tindakan rekod dan dokumentasi.
DBKL menegaskan, pihaknya akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti.
Sebarang aduan atau saluran maklumat boleh dikemukakan di http://adukl.dbkl.gov.my/eApps/system/index.do