SHAH ALAM - Saksi pendakwaan kes Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, Muhammad Aiman Aufa Asmadi Affendi, mengesahkan surat layang yang tular di laman sosial adalah surat yang ditulisnya hampir lapan tahun dahulu sebagai ikhtiar menyelamatkan mangsa ketika itu.
Surat berkenaan bertulis: 'Kalau ada hati perasaan, ada sifat peri kemanusiaan, saya minta sangat-sangat pergi ambush bilik 4-10, Blok Satria (depan masjid). Dalam tu, ada pesakit yang sangat-sangat perlukan rawatan segera. SEGERA!!! - Hamba ALLAH.'
Muhammad Aiman yang membuat pendedahan tersebut menerusi Instagramnya berkata, ia juga pertama kali dilihat semula sejak surat layang berkenaan diletakkan.
"Setelah hampir lapan tahun, ini pertama kali saya tengok semula surat ni. Lepas saya letak tu, tak pernah tengok dah sampai sekarang.
"Ni tak tahu la macam mana boleh sampai ke orang ramai. Apa apa pun, al-Fatihah buat keluarga arwah.
"Kita manusia hanya mampu berikhtiar dan berusaha, ALLAH SWT penentu segalanya," tulisnya pada Khamis.
Beliau yang kini sudah berkhidmat sebagai pegawai Tentera Darat Malaysia terus menjadi tumpuan warga maya yang menitipkan ucapan terima kasih atas keprihatinan dan keberanian beliau.
Ia susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) atas kesalahan membunuh Allahyarham Zulfarhan yang merupakan Pegawai Kadet Laut, tujuh tahun lalu.
Pada 2018, Muhammad Aiman memberitahu Mahkamah Tinggi yang mendengar kes Zulfarhan ketika itu bahawa dia memilih untuk menulis surat layang berbanding bersemuka dengan pihak atasan untuk memberitahu mangsa didera kerana tidak mahu menerima nasib yang sama seperti mangsa.
Imbas kembali, difahamkan Muhammad Aiman telah menulis dua pucuk surat layang berkenaan nasib yang Zulfarhan yang telah didera oleh rakan-rakan selepas melihat mangsa terbaring dengan seluruh badannya menggelembung dipenuhi tompok kehitaman dan darah di bilik 4-10 asrama penginapan UPNM pada 22 Mei 2017.
Surat berkenaan dilayangkan selepas berbincang dengan seorang rakan sebiliknya yang dikenali sebagai Muhammad Akmal Akif Alias bagi memastikan identitinya tidak terbongkar.
Difahamkan surat berkenaan telah dibaca oleh tiga individu termasuk petugas rumah sakit dan dua pegawai universiti.
Seorang pegawai telah bertindak melakukan pemeriksaan pada 8.50 hingga 9 pagi dan mendapati tiada orang dalam bilik tersebut kerana ketika itu para kadet menghadiri kelas.
Namun, surat berkenaan telah diketahui semua bilik 4-10 selepas jurulatih memasukkannya ke aplikasi WhatsApp hingga menyebabkan salah seorang penghuni bilik berkenaan yang juga suspek utama, Muhammad Akmal Zuhairi sempat memindahkan Zulfarhan ke bilik 4-06 atas alasan menumpangkan sementara waktu.
Kegagalan surat layang pertama menyebabkan Muhammad Aiman Aufa dan Akmal Akif bersepakat menulis surat layang kedua.Surat yang berbunyi 'Sila cari pegawai kadet laut Zulfarhan Osman' itu bagaimanapun telah ditemui oleh seorang penuntut lain