Suhakam bantah hukuman mati terhadap enam pembunuh Zulfarhan

Iklan
Suhakam membantah hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan terhadap enam bekas pelajar UPNM kerana membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.

SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) membantah hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan terhadap enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.

Menurut Suhakam, meskipun bersama keluarga mangsa dalam memahami kesedihan dan mengakui seriusnya jenayah itu, namun ia berpandangan hukuman mati bukan penyelesaian adil atau berkesan.

Iklan
Iklan

"Atas dasar itu, Suhakam meminta kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan hukuman mati dan berusaha ke arah sistem keadilan lebih saksama dan berperikemanusiaan untuk semua.

"Gantung sampai mati adalah hukuman yang tidak boleh diubah dan tidak memungkinkan berlakunya pemulihan sekiranya ada kesilapan kehakiman.

Iklan

"Ia juga bertentangan dengan gerakan global ke arah pemansuhan hukuman mati yang diakui banyak negara sebagai tidak berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi manusia," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Selasa, hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan terhadap enam bekas penuntut UPNM itu diputuskan sebulat suara oleh panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.

Iklan

Ia diputuskan selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan bagi mengekalkan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaaan.

Suhakam berkata, keputusan mahkamah rayuan itu menandakan detik menyedihkan dan penting dalam sejarah kehakiman Malaysia.

"Dalam konteks ini, penting untuk menekankan aspek pemulihan kerana cara itu boleh membawa perubahan kepada pesalah menjadi masyarakat yang lebih bertanggungjawab.

"Pendekatan ini bukan sahaja menangani punca kelakuan ganas terbabit tetapi juga membantu mencegah kejadian sama pada masa depan dengan menggalakkan persefahaman, empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pesalah.

"Komitmen kami terhadap hak asasi manusia memberi mandat buat kami menyokong pemansuhan hukuman mati," katanya.