Nelayan dikhuatiri hilang, jatuh bot di perairan Tioman

Iklan
MRSC Kuantan mengaktifkan Op Carilamat mangsa bermula pada Rabu sebelum disambung pada Khamis.

KUANTAN - Seorang nelayan dikhuatiri hilang disyaki terjatuh daripada bot nelayan tempatan di perairan Pulau Tioman, Selasa lalu.

Mangsa, Heng Jooi Hwa, 58 berasal dari Endau, Johor merupakan salah seorang kru bot nelayan tempatan yang dilantik untuk menjaga keselamatan sektor operasi di bawah naungan sebuah vendor Petronas, Ramform Sovereign.

Iklan
Iklan

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, tugas kru bot terbabit memastikan tiada nelayan lain melalui kawasan tersebut semasa proses mencari gali minyak dan gas di perairan itu.

Menurutnya, kali terakhir mangsa dilihat di atas bot kira-kira jam 7 petang pada hari tersebut.

Iklan

"Selepas menyedari kehilangan mangsa, semua kru bot membuat pencarian namun lelaki itu gagal dijumpai.

"Susulan maklumat diterima, Sub Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan mengaktifkan

Iklan

operasi mencari dan menyelamat (Op Carulamat) jam 9.15 pagi Rabu," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Mazlan berkata, Kapal Maritim (KM) Rentqp diatur gerak sejurus menerima maklumat daripada

pemilik bot yang dinaiki mangsa.

"Op Carilamat mangsa yang diteruskan hari ini (Khamis) turut disertai agensi sahabat

terdiri Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan sembilan bot nelayan tempatan di bawah naungan Ramform Sovereign.

"Kawasan pencarian meliputi keluasan kira-kira 177 batu nautika persegi," jelasnya.

Sementara itu katanya, operasi agak mencabar ekoran keadaan cuaca di sektor pencarian dilaporkan kurang baik dengan kelajuan angin 30 hingga 40 kilometer sejam dan laut ombak setinggi 1.5 sehingga 2.5 meter.

"Bagaimanapun aset terlibat akan terus melaksanakan pencarian di sektor yang telah diberikan," katanya.

Sementara itu beliau berkata, komuniti maritim diingatkan supaya menitikberatkan aspek keselamatan semasa melakukan aktiviti di laut termasuk memakai jaket keselamatan, memastikan bot dalam keadaan baik, peka terhadap keadaan cuaca dan membawa suar pencari peribadi (PLB).

"Maritim Malaysia sentiasa komited dalam menyalurkan bantuan kepada komuniti maritim setempat serta mengalu-alukan sebarang laporan kecemasan di laut secara terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang melalui talian 09-5717345 atau talian kecemasan MERS 999 untuk maklum balas segera," katanya.