ATLET memanah negara, Syaqiera Mashayikh bermula langkah kanan apabila membidik rekod peribadi baharu untuk meraih kedudukan ke-14 pada penentuan ranking acara recurve individu wanita di Sukan Olimpik Paris 2024, pada Khamis.
Pemanah berusia 23 tahun berasal dari Segamat, Johor, itu, berjaya mengutip 663 mata keseluruhan daripada 72 anak panah di Invalides di sini, mengatasi pencapaian terbaik terdahulunya 649 mata.
Keputusan tersebut hanya enam mata kurang berbanding rekod kebangsaan 669 mata yang dicatatkan oleh Ariana Nur Dania Mohamad Zairi pada kejohanan Kelayakan Olimpik di Antalya, Turkiye bulan lepas.
Kedudukan dalam ranking 20 teratas daripada 64 pemanah, memberi laluan lebih mudah buat Syaqiera dalam pusingan penyingkiran 1/32 pada Selasa depan apabila bertemu Alexandra Mirca dari Moldova, yang menamatkan saingan di kedudukan ke-51 dengan 631 mata.
Ketika debutnya di Olimpik Tokyo 2020, Syaqiera meraih kedudukan ke-43 dengan 630 mata, sebelum tewas kepada Elena Osipova dari Rusia pada pusingan penyingkiran 1/32.
Sementara itu, Ariana Nur Dania yang membuat penampilan pertama di pentas Olimpik, bakal mengharungi laluan berliku selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-50 dengan 633 mata, jauh ketinggalan berbanding rekod kebangsaannya.
Pemanah cilik berusia 19 tahun itu bakal berdepan Chiara Rebagliati dari Itali yang menamatkan saingan di tempat ke-15 dengan 663 mata pada Rabu depan.
Nasib serupa dihadapi oleh Nurul Azreena Mohamad Fazil yang meraih kedudukan ke-60 dengan membidik 622 mata apabila akan mengharungi cabaran sengit daripada pemanah di kedudukan kelima, Elif Berra Gokkır dari Turkiye dengan 671 mata.
Bagi ranking acara berpasukan wanita, trio negara menamatkan saingan ranking di kedudukan ke-10 daripada 12 negara dengan mengumpul 1,918 mata.
Wakil negara akan bertemu trio Indonesia Diananda Choirunisa, Syifa Nurafifah Kamal dan Rezza Octavia yang menduduki ranking ketujuh dengan 1,960 mata pada pusingan penyingkiran 1/8 Ahad ini dan sekiranya mara akan berjumpa China pada suku akhir.
Korea Selatan berada di ranking pertama dengan 2,046 mata sekali gus memperbaharui rekod mereka 2,032 mata di Tokyo 2020 manakala China di kedudukan kedua dengan 1996 mata.
Dalam pada itu, pemanah berusia 21 tahun dari Korea Selatan Lim Sihyeon beraksi cemerlang untuk mengungguli saingan pembukaan hari ini dengan memecahkan rekod Olimpik dan dunia milik rakan sepasukannya menerusi catatan 694 mata,
Dia mengatasi rekod dunia 692 mata milik Kang Chaeyoung pada Kejohanan Dunia 2019 di Belanda manakala rekod temasya terdahulu merupakan catatan 680 milik An San ketika merangkul emas di Tokyo 2020.
Seorang lagi wakil Korea Selatan, Nam Suhyeon (688) dan Yang Xiaolei (673) dari China masing-masing menduduki kedudukan kedua dan ketiga. - Bernama