Semoga bomoh itu bertaubat, buat permohonan maaf - Ibu Allahyarham Zulfarhan

Iklan

SHAH ALAM - Ibu kepada Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, yang meninggal dunia akibat dibuli dan didera penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), tujuh tahun lalu, meluahkan rasa kesal terhadap 'bomoh' yang didakwa menjadi punca kepada kes tragis itu.

Hawa Osman, 61 berkata, bomoh tersebut sepatutnya bergantung kepada bantuan ALLAH SWT dan bukannya percaya kepada tilikan.

Iklan
Iklan

Justeru dia berharap individu berkenaan menyesali perbuatan tersebut dan membuat permohonan maaf atas khilaf yang dilakukan.

"Kalau boleh datang jumpa dengan kami dan buat permohonan maaf kepada rakyat Malaysia," katanya memetik temu bual bersama Mingguan Wanita, pada Khamis.

Iklan

Kematian Allahyarham Zulfarhan pada 1 Jun 2017 akibat dipukul termasuk ditekap menggunakan seterika wap amat menyayat hati dan memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Kekejaman itu tercetus apabila Zulfarhan dipaksa mengaku mencuri sebuah komputer riba kerana namanya telah disebut oleh seorang bomoh.

Iklan

Pada Selasa, Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman gantung terhadap enam bekas penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali kerana membunuh Allahyarham Zulfarhan berbanding 18 tahun penjara yang diterima sebelum ini.

Mahkamah turut menggantikan hukuman penjara tiga tahun kepada empat tahun, terhadap 12 lagi bekas penuntut universiti sama kerana mencederakan Zulfarhan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, bapa Zulfarhan, Zulkarnain Idros, 60 dalam temu bual sama mendedahkan reaksi pesalah yang dilihat terkejut sebaik sahaja menerima hukuman yang dijatuhkan.

"Saya perhatikan, air muka mereka terkejut mungkin mereka rasa boleh lepas, boleh gelak seperti dulu (ketika hukuman penjara 18 tahun dijatuhkan).

"Agak ketara riak wajah mereka kerana yang mereka minta kurangkan hukuman sebaliknya hakim jatuhkan hukuman lebih berat. Sama juga dengan 12 yang lain apabila hukuman penjara ditambah setahun lagi," katanya.