PENGUMUMAN kerajaan berhubung Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang bakal diadakan semula seawal Jun tahun depan mengundang reaksi berbeza pelbagai pihak.
PLKN kali ini dilaksanakan menerusi konsep dan format baharu, menerapkan 30 peratus modul asas kenegaraan dan 70 peratus latihan ketenteraan.
Seramai 121, 000 belia berusia 17 tahun dijangka terlibat dalam program bagi membina jati diri, melatih, membentuk dan memupuk semangat patriotisme serta kesetiaan kepada negara.
Tinjauan Umum dan Laporan Penuh Kajian oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Architects of Diversity (AOD) mendapati semangat patriotisme dalam kalangan anak muda adalah rendah. Ini mengundang kebimbangan mengenai sikap anak muda negara ini pada masa akan datang.
Kita tidak seharusnya leka, sebaliknya perlu memulakan langkah menyemai kembali semangat kebersamaan demi negara tercinta.
Lantas, platform PLKN dilihat mampu menyatukan pelbagai kaum dalam satu kem bagi membentuk persefahaman. Sudah tentu kita impikan suasana harmoni, saling hormat-menghormati dan mesra bekerjasama antara satu sama lain.
Berdasarkan dapatan Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2.0 oleh Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun lalu, pencapaian nilai 0.629 yang membawa maksud kesepaduan nasional negara berada pada tahap sederhana dan terkawal.
Jadi, dengan adanya program khusus seperti PLKN, apa yang diimpikan itu diharap menjadi kenyataan. Ini kerana, biasanya di sekolah, pelajar bergaul mengikut kaum masing-masing tetapi situasi itu berbeza semasa di PLKN.
Cuma modul pelaksanaan PLKN kali ini seharusnya ditambah baik berbanding sebelum ini dan diharap mencapai objektif sebenar.
Bagi yang tidak bersetuju, tentunya mereka beranggapan program ini satu pembaziran, sedangkan memulihkan ekonomi negara lebih utama buat masa ini.
Namun, sudah tentu kerajaan terlebih dahulu membuat kajian termasuk kemampuan kewangan untuk melaksanakan PLKN 3.0 ini.
Perbelanjaannya mungkin boleh dikurangkan dengan menggunakan kembali kemudahan dan prasarana sedia ada selain tidak berbelanja besar seperti dahulu.
Langkah penjimatan itu juga diharap dapat memberi tumpuan kepada modul pembinaan sahsiah diri, adab dan akhlak, sekali gus melahirkan rakyat berkualiti kepada agama, bangsa dan negara.
PLKN yang diperkenalkan pada Disember 2003 sebelum ini merekodkan purata perbelanjaan sebanyak RM600 juta setahun. Ia kemudian dihentikan pada 2015 dan diperkenalkan semula setahun kemudian sebagai PLKN 2.0 dan kemudian dimansuhkan pada Ogos 2018.
Terdapat banyak kritikan terhadap pelaksanaan program tersebut. Selepas dimansuhkan, terdapat pelbagai pihak yang mendesak agar program PLKN ini diwujudkan semula. Pelbagai cadangan dilontarkan kepada kerajaan untuk menganjurkan semula PLKN.
Bagi mereka yang pernah menyertai PLKN, tentunya pelbagai memori dicipta semasa mengikuti program itu. Di media sosial, terdapat kumpulan masih aktif memuat naik status untuk mengimbau kenangan semasa berada di kem suatu ketika dulu.
Pastinya pelbagai ragam diceritakan termasuk kenangan yang beratur mengambil telefon bimbit yang disimpan jurulatih setiap hujung minggu.
Apakah kerajaan sudah bersedia untuk mengharungi segala macam ragam apabila PLKN mula beroperasi pada tahun depan?
Oleh itu, sebelum PLKN 3.0 dilaksanakan, kerajaan perlu memastikan perancangan dan pelaksanaannya nanti berjalan lancar.
Elakkan PLKN dijadikan sebagai alat politik, sebaliknya bagi membuka minda untuk mempertahankan tanah air. Pengisiannya pula perlulah lebih neutral tanpa dipengaruhi atau menjadi alat mana-mana parti politik.
Bak kata orang, buang semua ‘kudis’ yang merosakkan program PLKN sebelum ini.
Diharapkan PLKN 3.0 menjadi platform terbaik bagi melahirkan belia berwawasan tinggi, sekali gus bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara suatu hari nanti.
*Mohd Izzatul Izuan Tahir ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Selangor/KL