RENTETAN kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perancangan Malaysia membawa masuk guru sukarelawan Bahasa Inggeris dari Singapura, pelbagai pihak tampil berkongsi pandangan.
Ada yang tidak bersetuju kita mengimport guru dari republik itu semata-mata ingin mengajar subjek Bahasa Inggeris kepada pelajar dengan alasan masih ramai lepasan Teaching of English as Second Language (TESL) yang mampu.
Lapor portal pendidikan Sinar Bestari, orang ramai khasnya ibu bapa berpendapat, Kementerian Pendidikan (KPM) sendiri sudah melatih ramai guru Bahasa Inggeris dan kekurangan tenaga pengajar itu sepatutnya tidak timbul.
Malah, ada yang meluahkan rasa kecewa sekiranya benar guru sukarelawan Bahasa Inggeris Singapura menjadi pengganti tenaga pengajar sedia ada.
Soal mereka lagi, adakah guru tempatan tidak berkualiti? Bukan setakat itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia juga berharap agar kerajaan tidak meneruskan hasrat tersebut.
Bagaimanapun, KPM menerusi Menterinya, Fadhlina Sidek tampil memperjelaskan bahawa perancangan itu hanya membabitkan sekolah atau pelajar di kawasan pedalaman, Sabah dan Sarawak.
Semua sedia maklum, Malaysia masih kekurangan guru bagi kawasan itu. Malah, amat kurang untuk tenaga pengajar yang sukarela mahu mengajar anak didik di sekolah pedalaman dan Borneo.
Jelas Fadhlina, kementerian itu telah mengemas kini status dan tatacara membawa masuk guru sukarelawan Singapura yang khusus dan bukan secara rawak.
Cadangan mewujudkan skim bantuan atau melantik sukarelawan yang dibiayai Republik Singapura untuk ke kawasan tertentu di negara ini bagi mengajar mata pelajaran itu dilihat bukan sahaja membantu tahap penguasaan Bahasa Inggeris pelajar, malah mengukuhkan hubungan diplomatik antara dua negara.
Tegas Fadhlina lagi, usaha itu bukanlah satu perkara asing kerana pernah dilaksanakan membabitkan beberapa negara lain termasuk Amerika Syarikat dan Korea Selatan bagi mata pelajar Bahasa Korea.
Secara dasarnya, ada benar juga tindakan itu kerana susah sangat untuk kita tempatkan guru yang benar-benar rela meredah sungai dan becak demi anak bangsa.
Namun, tidak semua pendidik tempatan sedemikian rupa, tetapi bilangannya tidaklah ramai dan mampu menampung kelompongan sedia ada.