Pempengaruh terkedu kena bayar ganti rugi jet ski RM13,000

Iklan
NgekTsai selepas membuat laporan polis di Balai Polis Central, Kuching, Sarawak sebaik sahaja pulang dari Pulau Langkawi. Gambar kiri: Kerosakan pada jet ski. Foto Facebook NgekTsai Army

SHAH ALAM - Seorang pempengaruh media sosial terkejut apabila terpaksa membayar ganti rugi jet ski yang rosak bernilai RM13,000 meskipun hanya bermain selama satu jam ketika bercuti di Pulau Langkawi, Kedah baru-baru ini.

Lelaki dikenali dengan nama NgekTsai berkata, pulau tersebut merupakan destinasi percutian wajib dikunjungi hampir setiap tahun, namun tidak menyangka ia meninggalkan perasaan terkilan dan pengalaman pahit.

Iklan
Iklan

Menurut NgekTsai, pada mulanya dia sedia bertanggungjawab dan mahu mengakui kesalahan dengan harapan syarikat berkenaan sudi berunding untuk menerima ganti rugi lebih rendah, tetapi sebaliknya berlaku.

"Dipendekkan cerita, kemalangan berlaku disebabkan kecuaian sendiri. Maka pecahlah satu bahagian jet ski yang dipakai. Saya abaikan nasihat kawan yang sedang panik dan meminta mendiamkan hal ini serta jumpa pekerja syarikat untuk bertanggungjawab.

Iklan

"Alhamdulillah mereka menerimanya dengan baik tanpa meninggi suara atau berkasar, malah memberikan jet ski baharu untuk saya habiskan baki masa bermain.

"Selepas itu, saya kembali menyerah diri. Tapi yang membuat saya terkedu adalah ganti rugi perlu dibayar berjumlah RM15,000. Ejen saya telah bercakap dengan bos dan merayu dikurangkan bayaran dari RM15,000 ke RM13,000, tetap banyak," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Iklan

Jelas lelaki berasal dari Sarawak itu, dia berat hati untuk mengeluarkan amaun sebanyak itu dalam masa satu hari berikutan had pengeluaran setakat RM9,000 sahaja dan meminta memulangkan baki RM4,00 keesokan hari.

Bagaimanapun, pemilik syarikat jet ski enggan mempercayainya dengan mengatakan bayaran penuh mesti diselesaikan pada hari sama.

"Atas dasar ihsan, ada kawan saya yang merupakan orang Langkawi bantu hulurkan wang RM4,000 secara dalam talian.

"Dalam perjalanan balik ke Sarawak, saya berfikir panjang dan cuba proses kejadian itu. Adakah nilai kerosakan sehingga RM15,000? Kalau betul, mana butirannya?

"Selepas pembayaran tunai RM9,000 dibuat, saya tak dapat resit rasmi langsung! Bukan RM9, tapi RM9,000. Kenapa mereka tak cadangkan kepada saya yang panik ini untuk laporkan kepada polis," soalnya lagi.

Dalam pada itu, NgekTsai turut meminta agar isu sebegini diambil serius oleh pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk meneliti semula sistem di kawasan tarikan pelancong.

"Mujur saya mampu bayar RM13,000. Kalau orang lain yang kurang mampu? Nak bayar pakai apa?

"Janganlah buat pelancong macam ini, nanti ada sesetengah orang bisnes sana cakap pelancong makin kurang bukan macam dulu, ramai," jelasnya.