Enam atlet negara sertai upacara pembukaan Olimpik Paris 2024

Iklan
Pemandangan waktu malam Menara Eiffle. Gegelung Olimpik di Menara Eiffel pasti menjadi daya tarikan yang hebat dan menambahkan suasana meriah sempena Sukan Olimpik Paris 2024. Foto Bernama

SERAMAI enam atlet dan empat pegawai akan mewakili kontinjen Malaysia pada upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 malam esok (awal pagi Sabtu di Malaysia).

Ketua kontinjen negara Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, barisan atlet negara bakal didahului oleh dua pembawa Jalur Gemilang, iaitu penerjun Bertrand Rhodict Lises dan atlet pelayaran Nur Shazrin Mohamad Latif.

Iklan
Iklan

Turut menyertai upacara yang akan diadakan di Sungai Seine secara besar-besaran adalah Nur Dhabitah Sabri (terjun), Khairulnizam Mohd Afendy (pelayaran), Ashley Lau (golf) dan Tan Rouxin (renang).

Kontinjen Malaysia turut disertai oleh Hamidin, timbalannya Datuk Nicol David, ketua perubatan kontinjen Dr Jasmiza Khuzairi Jasme dan Ang Li Pei (pegawai keselamatan Majlis Olimpik Malaysia).

Iklan

Majlis perasmian Olimpik Paris 2024 dijadualkan bermula jam 7.30 malam esok (1.30 pagi Sabtu di Malaysia), dengan atlet akan menaiki bot yang dihiasi.

Malaysia menghantar 26 atlet dan 40 pegawai ke temasya sukan itu.

Iklan

Atlet wanita akan memakai baju kurung songket dengan kelubung manakala atlet lelaki berbaju Melayu Teluk Belanga.

Sementara itu, Hamidin yakin dengan keselamatan atlet dan pegawai dalam kontinjen negara berikutan laporan media beberapa insiden seperti rompakan dan jenayah seksual.

"Saya tidak bimbang dengan atlet kerana mereka sentiasa berada di Perkampungan Sukan dan hanya keluar ke venue latihan atau pertandingan. Tahap keselamatan ketat untuk masuk ke Perkampungan Sukan dengan pemeriksaan rapi

"Tetapi saya bimbang sedkit tentang keselamatan ahli keluarga dan rakan atlet di luar sana dan juga rakyat Malaysia yang lain di sini bagi temasya ini. Harap mereka menjaga keselamatan mereka.

"Buat masa ini iada apa-apa masalah dihadapi oleh atlet negara,” katanya ketika ditemui di Invalides, venue bagi acara memanah. - Bernama