'Penyu gergasi' gamit pengunjung ke Pantai Tanjung Pelindung

Iklan
Mural penyu gergasi di Pantai Tanjung Pelindung, Kuantan menjadi destinasi tumpuan pengunjung setiap hari.

KUANTAN - Pantai Tanjung Pelindung di sini dahulunya sepi kini bertukar wajah apabila tidak putus dengan kehadiran pengunjung yang ingin melihat sendiri 'penyu gergasi' terdampar di pantai itu.

Penyu gergasi yang dimaksudkan sebenarnya mural penyu pada bongkahan batu hasil karya empat pelukis mural 'Project ZeroSix' terdiri Mohammad Amir Farouk, 34, Kamal Idris, 33, Azri Azahar, 35, dan Muhd Ikmal Manan, 29.

Iklan
Iklan

Mural unik itu yang siap sepenuhnya 16 Julai lalu mendapat perhatian selepas tular di beberapa platform media sosial sekali gus menjadi daya tarikan baharu di pantai tersebut.

Mohammad Amir berkata, mural itu berjaya disiapkan hanya dalam tempoh lima hari itu melibatkan kos RM30,000 dengan sokongan Tourism Pahang terutama Pengurus Besarnya, Kamaruddin Ibrahim.

Iklan
Mohammad Amir menunjukkan sentuhan seni karya terbaharu 'Project ZeroSix' pada bongkah batu sepanjang 20 meter di Pantai Tanjung Pelindung.

"Segala penat lelah kami selama lima hari berbaloi apabila mural ini juga mendapat liputan meluas hingga Pantai Tanjung Pelindung kini menjadi destinasi tumpuan pengunjung setiap hari, terutama pada waktu petang.

"Saya difahamkan pengunjung yang datang bukan hanya penduduk tempatan malah dari seluruh negara," katanya ketika ditemui bersama seorang lagi pelukis, Azri Azahar di lokasi mural istimewa itu di sini.

Iklan
Mohammad Amir (kiri) dan Azri di hadapan mural penyu gergasi.

Mohammad Amir berkata, sentuhan seni pada bongkah batu sepanjang 20 meter dan tinggi kira-kira 10 meter itu hasil gabungan cat dan warna asli batuan bagi menimbulkan efek tiga dimensi (3D) agar lebih nampak semula jadi.

Sementara itu, Azri berkata, menghasilkan mural penyu pada batuan alam itu bukan sesuatu yang mudah dan ada cabarannya yang tersendiri.

"Allhamdulillah, mural penyu gergasi ini berjaya disiapkan seperti mana dirancang dan penerimaan orang ramai terhadap karya ini memang di luar jangkaan.

"Selain membantu menarik pengunjung, tarikan baharu ini juga mampu merancak ekonomi penduduk setempat yang menjaja makanan dan minuman di kawasan pantai ini," katanya.

Pada masa sama, Azri turut meminta para pengunjung supaya menjaga mural itu dan tidak menjadikannya sebagai mangsa vandalisme.