SHAH ALAM - Gangguan bekalan air di semua kawasan terjejas akibat henti tugas sementara empat loji rawatan air (LRA) berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah pulih sepenuhnya jam 12 tengah malam pada Jumaat.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan mengucapkan terima kasih kepada pengguna atas kesabaran dan kerjasama diberikan sepanjang tempoh berkenaan.
Iklan
Iklan
"Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengguna atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” katanya dalam kenyataan itu di laman Facebooknya.
Agensi itu sebelum ini memaklumkan tujuh wilayah iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.
Lori tangki digerakkan ke kawasan terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
Dalam pada itu, Air Selangor turut memaklumkan pengguna boleh mendapatkan maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300.