BANYAK penipuan merupakan antara tanda akhir zaman yang sewajarnya tidak boleh dianggap remeh dan dinormalisasikan.
Ketua Program Sarjana Muda Bahasa Arab dan Kesusasteraan Islam, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir mengingatkan, pendustaan itu tidak hanya bermula sekarang, tetapi sudah berlaku sejak zaman Rasulullah SAW lagi.
Beliau yang banyak menulis dan melakukan kajian tentang akhir zaman serta tanda-tanda kiamat menjelaskan, ketika itu juga sudah ada pendusta yang mengaku diri sebagai nabi.
"Apatah lagi selepas kewafatan Baginda. Sehingga ke hari ini, penipuan sebegini berlaku bergantung kepada masa dan zamannya.
Kitab Al-Fitan dalam bab zaman yang dahsyat merekodkan, Rasulullah SAW bersabda: "Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipu daya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah. Kemudian akan berkata-katalah golongan al-Ruwaibidhah, Baginda SAW ditanya:"Siapakah golongan ar-Ruwaibidhah? Maka Baginda SAW menjawab:"Orang yang bodoh lagi fasik berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Elak pengetahuan menyesatkan
Mengapa dikaitkan golongan Ruwaibidhah dengan akhir zaman?
Menjawab persoalan tersebut, Dr Khairul Asyraf menjelaskan, kelompok Ruwaibidhah sebenarnya ialah golongan yang lemah dan tenggelam dalam hal-hal keduniaan serta sentiasa menginginkan sesuatu.
"Jika diteliti dalam riwayat Musnad Ahmad, dinyatakan orang yang bodoh bercakap perkara umum. Mereka digambarkan (sebagai seorang) bukan cerdik, tetapi dia hendak juga cerita perkara-perkara umum ini.
"Sedangkan apa yang dihuraikan oleh asatizah berkenaan adalah panjang lebar, tetapi hanya diambil ‘sekerat’ yang akhirnya menjadikan ia hujah besar bagi mereka,” terangnya.
Ujar ahli akademik itu, golongan tersebut kemudian menjadi orang tidak berilmu, tetapi mendapatkan pengetahuan yang akhirnya menyesatkan orang lain.
"Dalam konteks ini, golongan Ruwaibidhah ialah kelompok yang tidak memahami Islam secara mendalam, tetapi ingin bercakap dan menguruskan umat Islam.
"Maka hadis itu merupakan perkhabaran dan peringatan daripada Rasulullah SAW kepada seluruh umat Baginda mengenai perihal akhir zaman yang bermula dari zaman Nabi Muhammad SAW berterusan sehingga kiamat nanti,” ungkapnya.
Usah berdusta
Menyambung hujah, pensyarah itu mengakui ada pihak tertentu tanpa segan silu menggunakan nama agama demi meraih kepentingan peribadi.
"Belajarnya tidak tinggi, tetapi berkata seumpama 'ulama besar' kerana dikaburi dengan laba tertentu. Sebaiknya, fokuskanlah bidang kepakaran masing-masing dan usah bercakap jika bukan melibatkan lapangan mereka.
"Lebih elok jika kita berterus terang kurang arif tentang perkara berkenaan daripada menjadi ‘penunggang agama',” katanya.
Mengertilah bahawa dunia ini hanya tempat persinggahan sebelum kita menuju ke alam akhirat yang kekal abadi, ungkapnya.
"Malah, di situlah tempatnya kita melihat kembali khazanah-khazanah dan pahala yang dikumpul ketika di dunia, selain bagaimana muamalah kita sesama manusia dan dengan ALLAH SWT,” katanya.
Apatah lagi katanya, kita hidup dalam dunia akhir zaman dengan teknologi canggih yang boleh dimanfaatkan sebaiknya untuk mendapatkan maklumat sahih dengan rujukan autentik.
"Ingatlah, ALLAH memberikan kita keistimewaan untuk mendapatkan sesuatu yang hebat dalam konteks ilmu dan menyampaikannya kepada orang lain dengan perkara-perkara benar dan sahih.
"Jangan pula kita gunakan ruang berkata-kata dengan pertuturan yang mendustakan hingga tidak dapat membawa Islam ke arah lebih baik. Akhirnya memberi kesesatan dan menyelewengkan orang lain,” tegasnya.
ANEKDOT
Fitnah akhir zaman
1. Pendusta dipercayai
Pada hari ini, orang lebih percayakan pendusta apatah lagi jika dia berjaya menguasai media sosial. Menerusi platform itu, pengaruh dan kepercayaan dibina agar ramai yang mengikut setiap coretannya. Apalagi mereka yang mempunyai wang banyak akan membuat pelaburan bagi mencari pengaruh.
2. Orang yang jujur pula didustakan.
Dunia akhir zaman menyaksikan orang jujur tidak dapat kekal lama dalam satu jawatan atau pangkat. Kejujurannya amat dibenci kerana ia menyekat pihak lain mengaut kekayaan. Disebabkan itu antara cara dilakukan adalah dengan menyebarkan fitnah secara meluas hingga akhirnya orang lebih mempercayai penabur fitnah daripada mereka yang tulus menjalankan tugas dan tanggungjawabnya.
3. Amanat diberi kepada pengkhianat.
Banyak pengkhianat agama, bangsa dan negara pada hari ini. Ia sehinggakan ada pihak yang menggunakan agama untuk memenuhi kepentingan diri.
4. Orang yang jujur dikhianati.
Semuanya dilakukan demi memastikan orang jujur itu tiada tempat di mana-mana lagi apatah lagi dipilih sebagai pemimpin.
5. Orang bodoh menguruskan hal-hal umum.
Inilah yang dikatakan orang bodoh yang bukan ahlinya mula bercakap hal-hal yang bukan menjadi kepakarannya. Bayangkan mereka dilantik menjadi pemimpin atau ketua untuk mengurus hal berkait dengan kepentingan awam yang mana akhirnya gagal ditangani dengan baik.