KEMAMAN - Seekor harimau kumbang berjaya ditangkap pada Rabu lepas selepas memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Padang Kubu dekat sini.
Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, harimau kumbang jantan seberat 65 kilogram itu berjaya ditangkap kurang 24 jam selepas perangkap tersebut dipasang pada Selasa lepas.
Menurutnya, operasi menangkap harimau kumbang berkenaan melibatkan tujuh anggota Perhilitan Terengganu.
"Perangkap dipasang selepas menerima aduan serangan pada lembu ternakan milik penduduk.
"Lembu-lembu ternakan penduduk mati dipercayai dibaham harimau kumbang tersebut.
"Tidak kurang 24 jam perangkap telah dipasang di dalam sebuah ladang kelapa sawit di perkampungan itu, harimau tersebut berjaya ditangkap," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Kean Seong berkata, pemeriksaan mendapati harimau kumbang tersebut berada dalam keadaan sihat.
Katanya, harimau kumbang itu telah dilepaskan ke dalam hutan yang merupakan habitat semulajadinya pada Khamis lepas.