ISKANDAR PUTERI - Empat suspek melibatkan dua lelaki dan dua wanita yang disyaki terlibat dalam insiden penculikan kanak-kanak perempuan, Albertine Leo Jia Hui, 6, dibebaskan dengan jaminan polis, pada Jumaat.
Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, reman terhadap keempat-empat suspek berusia 28 hingga 55 tahun yang tamat pada Jumaat, juga tidak disambung.
"Reman tidak disambung, terima kasih,” katanya kepada pemberita.
Untuk rekod, Albertine Leo disedari hilang kira-kira jam 8.30 malam pada Sabtu lalu oleh ibu bapanya yang berniaga di Festival Bon Odori di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri.
Kes kemudian diklasifikasikan daripada laporan orang hilang kepada Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik, susulan penahanan empat suspek berusia 28 hingga 55 tahun, pada Isnin.
Dua lelaki dan seorang wanita itu ditahan kira-kira jam 1.30 petang di sekitar kawasan Gelang Patah sebelum seorang lagi wanita ditahan sekitar jam 12.15 tengah hari Selasa.
Keempat-empat suspek warga tempatan itu kemudiannya direman empat hari sehingga Jumaat.
Sementara itu, suspek kelima yang juga merupakan seorang lelaki berusia 31 tahun yang ditemui bersama mangsa di sebuah bilik hotel murah di Batang Kali pada Selasa masih dalam direman bagi membantu siasatan.