PETALING JAYA - Pembelaan bagi pihak ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin memohon kepada Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, supaya pemilik kepada lima akaun ‘TikToks’ dikenakan perintah larangan bersuara.
Peguam, Fahmi Abd Moin yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari, 29, dan Ismanira Abdul Manaf, 29, berkata, lima pemilik laman sosial Tiktok tersebut ialah ‘CEO Zayn Rayyan, Myras Kitchen 00, Cikpika_pika_ii, Be Malaysian 2.0 dan Malaikat Maut 382’.
Menurutnya, sejak anak guamnya disiasat, didakwa dan terkini dalam sebutan kes hari pertama, pihaknya mendapati terdapat banyak pautan, siaran langsung serta video dimuat naik dalam aplikasi media sosial berkenaan.
"Bagi kami, kandungannya sangat subjudis dan merupakan buli siber kepada Zaim Ikhwan dan Ismanira serta keluarga mereka termasuk pasukan pembelaan sendiri.
"Ada banyak ‘TikTokers’ yang terlibat, namun saya lampirkan lima terlebih dahulu dan kami mohon mereka dikenakan perintah larangan bersuara atau ‘gag order’, daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes ini,” katanya.
Beliau berkata, lima pempengaruh itu membuat kandungan dengan mengaitkan isu Zayn Rayyan, yang kemudiannya mengundang kecaman, komen yang subjudis dan berbaur hasutan.
Susulan itu beliau berkata, pembelaan juga tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.
Beliau berharap, mahkamah membenarkan permohonan terbabit tanpa perlu melalui prosiding berasingan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar berkata, pihaknya baru sahaja dimaklumkan mengenai isu berkenaan pada pagi Jumaat.
Buat masa ini, beliau berkata, pendakwaan tidak berpeluang untuk meneliti perkara itu dan memohon perkara tersebut dibuat dalam prosiding berasingan.
"Pembelaan juga tidak melampirkan sebarang affidavit berhubung isu yang ingin diketengahkan.
"Saya percaya pada peringkat ini, ia adalah terlalu pra-matang untuk mengeluarkan perintah ‘gag order’ namun saya serahkannya kepada budi bicara mahkamah,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim, Dr Syahliza Warnoh berkata, ketika prosiding kes pendakwaan lalu, mahkamah telah membuat perintah larangan bersuara kepada pihak-pihak yang terlibat dalam kes terbabit sahaja.
"Jika ada aduan berkenaan perkara ini ia boleh dibuat kepada pihak berkenaan supaya mengambil tindakan sewajarnya.
"Mahkamah ingatkan orang awam supaya tidak membuat komen bersifat subjudis atau menghina mahkamah,” katanya.
Pada 13 Jun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya pada jam 9.55 malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ia beserta tambahan kepada apa-apa hukuman yang dinyatakan dalam subseksyen (1), memerintahkan supaya orang yang disabitkan atas kesalahan di bawah subseksyen itu menyempurnakan bon dengan penjamin berkelakuan baik selama apa-apa tempoh dan dengan apa-apa syarat yang difikirkan patut oleh mahkamah serta melaksanakan khidmat masyarakat.
Prosiding turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Anis Hakimah Ibrahim sementara pembelaan oleh peguam, Ilyani Khuszairy.
Peguam pemerhati dari Majlis Peguam Malaysia, Vivek Sukumaran dan Jason Wee turut hadir di mahkamah berkenaan.