Hilang sejak 21 Julai, Nur Maisarah Husna ditemui selamat

Iklan
Nur Maisarah Husna ditemui selamat oleh orang awam di pekarangan sebuah masjid di Teluk Kumbar pada pagi Khamis.

BALIK PULAU - Seorang remaja berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu ditemui selamat di Teluk Kumbar, Bayan Lepas di sini pada pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, Nur Maisarah Husna ditemui oleh orang awam di pekarangan sebuah masjid di situ pada jam 11.50 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kehilangan remaja itu hanya disedari selepas keluarganya menghubungi asrama sebuah institusi pendidikan swasta di sini untuk mengetahui tentang kesihatannya.

"Berdasarkan laporan yang dibuat bapa remaja terbabit, anaknya itu dihantar ke asrama institusi pendidikan swasta tersebut pada 21 Julai lalu.

Iklan

"Bagaimanapun, kehilangannya disedari hanya selepas keluarganya menghubungi institusi tersebut semalam untuk bertanyakan tentang keadaan kesihatannya.

"Keluarganya terkejut apabila dimaklumkan remaja tersebut tidak menghadiri sesi pembelajaran selain tidak kelihatan di asrama sejak Ahad lalu," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Iklan

Kamarul menambah, bimbang dengan kehilangan remaja tersebut, bapanya telah membuat laporan polis bagi membolehkan pencarian dibuat.

"Selepas beberapa jam laporan polis dibuat, remaja berkenaan berjaya ditemui orang awam di sebuah masjid di Teluk Kumbar.

"Pemeriksaan awal fizikal mendapati, remaja terbabit berada dalam keadaan baik, tiada kecederaan. Bagaimanapun, dia dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," tambahnya lagi.

Sebelum ini, tular di beberapa media sosial termasuk Facebook dan aplikasi WhatsApp berhubung kehilangan remaja bernama Nur Maisarah Husna yang berusia 17 tahun.

Hantaran itu dipercayai dibuat oleh bapa saudara mangsa yang merayu orang ramai untuk mengesan remaja yang dilaporkan hilang sejak 21 Julai lalu.