PORT DICKSON - Seorang penjual ketam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan mencuri barangan kemas minggu lalu.
Tertuduh, M Kalithosan, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret, Uthman Abd Ghani selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah mencuri harta benda milik seorang wanita iaitu satu cincin, satu rantai emas dan satu loket emas.
Kesalahan itu dilakukan pada 17 Julai 2024, jam lebih kurang 6.15 pagi sehingga 8.23 pagi di sebuah rumah di Batu 8 Jalan Pantai, Teluk Kemang, Port Dickson.
Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal menawarkan jaminan RM8,000.
Peguam M Siveram, bagaimanapun merayu jaminan rendah terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh perlu menanggung isteri dan dua anak yang masih kecil serta ibu yang sudah uzur.
Mahkamah menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes 25 September depan.