‘Makmal ketum’ dalam belukar kena serbu, dua ditahan

Iklan
‘Makmal’ pemprosesan ketum dalam belukar di Machang yang diserbu polis. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID

MACHANG - Polis merampas daun ketum anggaran berat 608 kilogram (kg) dan 106 liter cecair ketum bernilai lebih RM13,000 dalam serbuan di sebuah ‘makmal’ pemprosesan bahan itu di kawasan belukar di Kampung Pek, di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin, berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah berkenaan pada jam 11.30 pagi.

Iklan
Iklan

Katanya, polis turut menahan dua suspek lelaki berusia 51 dan 36 tahun yang sebelum itu berada dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di kawasan belukar tersebut dalam keadaan mencurigakan.

"Polis menjalankan pemeriksaan tubuh badan dan dalam kenderaan itu serta menemukan barangan disyaki dadah.

Iklan
Ahmad Shafiki (kanan) menunjukkan bungkusan mengandungi cecair ketum. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID

"Pasukan serbuan kemudiannya dipandu arah oleh kedua-dua suspek ke kawasan berdekatan dan menemukan sebuah tempat memproses air ketum,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, di sini, pada Jumaat.

Menurut beliau, polis merampas alatan memproses air ketum, daun-daun disyaki daun ketum serta bungkusan plastik dipercayai mengandungi air ketum yang ditemukan di lokasi berkenaan.

Iklan

"Jumlah keseluruhan daunyang disyaki daun ketum itu dianggarkan seberat 608 kg dan cecair disyaki air ketum berjumlah 106 liter.

Ahmad Shafiki (kanan) melihat daun ketum yang ditemukan polis. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID

"Selainnya, polis juga menemukan tiga pil disyaki dadah dengan anggaran berat kasar 0.8 gram dan kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM13,265,” katanya.

Ahmad Shafiki berkata, ujian saringan awal yang dijalankan terhadap air kencing kedua-dua suspek didapati mereka positif methamphetamine.

"Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod lampau berkait kesalahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 manakala suspek kedua tiada sebarang rekod lampau.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan mereka dengan barang kes yang dirampas dan permohonan reman akan dibuat di hadapan majistret di Mahkamah Majistret Machang pada Jumaat,” kata beliau.