WASHINGTON - Pengarah FBI Christopher Wray memberitahu pendengaran Jawatankuasa Kehakiman Dewan AS pada Rabu bahawa beliau tidak pasti sama ada bekas presiden AS dan calon presiden Republikan Donald Trump terkena peluru semasa percubaan membunuhnya di Pennsylvania, kata Trump dalam hantaran di Truth Social, menurut Sputnik.
Pada Rabu, Wray menghadiri pendengaran Jawatankuasa Kehakiman Dewan AS untuk membincangkan percubaan bunuh ke atas Trump pada 13 Julai.
Apabila ditanya oleh seorang penggubal undang-undang sama ada pengarah FBI menyedari sebarang tanda kemerosotan kognitif oleh penyandang Presiden AS Joe Biden semasa perbincangan baru-baru ini, Wray berkata beliau tidak melihat sebarang kemerosotan sedemikian.
Bekas presiden itu berkata inilah sebabnya mengapa pengarah FBI"tidak tahu apa-apa tentang pengganas dan penjenayah lain yang masuk ke negara kita pada kadar yang luar biasa," sambil menambah bahawa fokus utama Wray adalah"menghancurkan Patriots J6," menyerbu kediaman Trump di Mar-a-Lago di Palm Beach, Florida, dan menyelamatkan"Radikal Kiri."
Trump menambah bahawa sebuah hospital menyifatkan kecederaannya sebagai"luka peluru di telinga," dengan menyatakan bahawa tidak ada kaca atau serpihan.
"Tidak hairanlah FBI yang dahulu berprestij telah kehilangan keyakinan Amerika," kata calon presiden itu.
Insiden tembakan itu berlaku pada 13 Julai di sebuah perhimpunan Trump di Butler, Pennsylvania. Trump mengalami luka tembakan di telinga kanannya dan telah dirawat di hospital seketika. Thomas Crooks, 20, membunuh seorang penonton dan mencederakan dua orang lain sebelum Perkhidmatan Rahsia AS menembaknya.
FBI masih aktif menyiasat cubaan pembunuhan itu, kata Wray pada Rabu.
Insiden itu menyebabkan Pengarah Perkhidmatan Rahsia AS Kimberly Cheatle meletak jawatan berikutan kritikan terhadap agensi itu kerana tidak mencegah cubaan pembunuhan tersebut. - Bernama-Sputnik