KANGAR - Seorang penolong akauntan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 13 pertuduhan menyalah guna harta iaitu wang milik kerajaan negeri Perlis berjumlah RM81,585.04.
Mohd Reimi Ismail, 45, sebagai pegawai badan awam iaitu penolong akauntan di Pejabat Perbendaharaan Negeri Perlis didakwa melakukan perbuatan itu di tiga bank berlainan di sini antara Jun 2018 dan September 2019.
Iklan
Iklan
Dia dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Hakim Norsalha Hamzah membenarkan Mohd Reimi diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis sebulan sekali dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 27 Ogos untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Atiqah Mohamad Alias manakala penolong akauntan itu diwakili peguam Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.
Mohd Reimi membayar wang jaminan itu. - Bernama