SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kira-kira 100 perusahaan yang terlibat dalam aktiviti kartel harga, pasaran, pengeluaran dan tipuan bida yang turut menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup, telah dikenakan penalti membabitkan jumlah keseluruhan mencecah RM570 juta sejak penubuhan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) pada 2011 hingga tahun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sehingga kini terdapat 18 kes siasatan yang masih dalam siasatan KPDN termasuk 14 kes melibatkan tipuan bida.
"Bagi kita itu (kes tipuan bida) cukup penting untuk kita siasat sebab ia merupakan satu bentuk sabotaj kepada agenda kerajaan.
"Ia kerana kita tahu di bawah pentadbiran Kerajaan Madani dari segi pendekatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya ditingkatkan perolehan kerajaan yang berbentuk tender terbuka.
"Tetapi bila tender terbuka itu adanya tipuan bidaan, pakatan syarikat-syarikat tertentu untuk memasuki sesuatu tender, jadi itu menjatuhkan objektif asal tender terbuka tersebut,” katanya ketika sesi soal jawab Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Terdahulu Armizan merasmikan Karnival Rakyat Karangkraf yang berlangsung sehingga Ahad ini.
Town Hall Rakyat yang dihoskan oleh pelakon, Fikri Ibrahim itu merupakan platform interaktif untuk rakyat bersemuka dan bertanya pelbagai isu kepada pemimpin yang diundang.
Ujar Armizan, kementerian juga sedang membuat kajian untuk meminda akta persaingan dengan menambah satu elemen baharu yang dijangka dilaksanakan pada tahun ini.
"Meminda akta persaingan untuk (menambah) satu lagi elemen penting iaitu rejim penggabungan kerana ada juga perusahaan yang melaksanakan pengambilalihan atau penggabungan dengan tujuan monopoli tidak sihat, juga boleh beri kesan kepada harga pengguna.
"Ini merupakan satu elemen yang mungkin belum ramai diketahui tetapi undang-undang terkait dengan persaingan ini juga merupakan salah satu mekanisme yang diguna kerajaan, yang juga terkait perlindungan kepada pasaran dan pengguna,” ujarnya.
Dalam pada itu, Armizan memberitahu, ketangkasan penguatkuasaan menjadi salah satu daripada empat hala tuju yang diberikan tumpuan oleh KPDN menangani isu kos sara hidup.
Tiga lagi fokus ialah pemacu ekonomi domestik, daya upaya pengguna dan peranan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol), kata Armizan.
"Tetapi aspek ketangkasan penguatkuasaan adalah penting. KPDN unik bukan hanya sebab jadi kementerian yang ada elemen ekonomi tetapi juga aspek kepenggunaan.
"Walaupun kementerian kita tidaklah sebesar mana hanya ada tiga agensi namun tanggungjawab cukup besar selain menjadi kementerian yang amat dekat dengan rakyat," katanya.
Armizan berkata, cabaran KPDN menjadi semakin besar apabila Kerajaan Madani meletakkan kos sara hidup sebagai nama kementerian tersebut.
"Dengan itu harapan daripada rakyat juga meningkat. Saya pernah bertanya kenapa kos sara hidup terpilih, jawapan yang diterima adalah sebab kita tidak boleh lari berhadapan dengan fokus itu.
"Hakikatnya kita tahu kos sara hidup bukan unik (khas) bagi Malaysia tetapi kita tahu ia isu global,"ujarnya.
Ahli Parlimen Papar berkenaan juga mengakui tidak pernah menjangkakan beliau akan dipilih menerajui KPDN menggantikan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
"Saya tidak pernah jangka kerana saya juga baharu jadi ahli Parlimen penggal pertama. Tapi saya wakil tunggal Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Kabinet," katanya.