Paras air Empangan Muda susut drastik

Iklan
Penyusutan paras air di Tasik Gubir disifatkan sebagai normal khususnya ketika musim kemarau dan akibat pelepasan air dari empangan itu. Foto fail Bernama

SIK - Paras air Tasik Gubir di Empangan Muda dekat sini, menyusut dengan drastik sehingga menampakkan batuan dan menyebabkan jarak tebing dengan air lebih jauh.

Tinjauan Bernama di kawasan tasik itu pada Jumaat mendapati bot-bot milik nelayan darat terpaksa diikat jauh dari tempat asal yang kini sudah menjadi daratan.

Iklan
Iklan

Seorang nelayan darat, Mohd Yusof Syafaie, 67, berkata, penyusutan paras air di tasik berkenaan disifatkan sebagai normal khususnya ketika musim kemarau dan akibat pelepasan air dari empangan itu.

"Memang biasanya air susut bila kemarau dan pelepasan air oleh MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) untuk pertanian, sebab empangan ini bertujuan sebagai takungan air.

Iklan

"Tapi tahun ini agak drastik sikit dan susut sehingga menyebabkan tasik menjadi cetek dan tebing semakin jauh dari jeti nelayan,” katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun, dia berkata, penyusutan paras air di tasik itu telah membantu nelayan mendapatkan hasil tangkapan lebih kerana ikan mudah ditangkap apabila air cetek berbanding paras air tinggi yang memaksa nelayan kerap mengubah pukat mereka bagi mendapatkan hasil banyak.

Iklan

"Sekarang ini hanya beberapa jam sudah cukup untuk dapat hasil yang banyak, tak perlu tunggu lama sampai petang,” katanya yang sudah 30 tahun menjadi nelayan di tasik itu.

Bagi Mohd Azni Tajudin, 41, walaupun keadaan air cetek memudahkan aktiviti menangkap ikan namun ia mengehadkan kawasan yang boleh dilalui bot nelayan.

Pada Khamis, MADA dalam kenyataan memaklumkan paras air di Empangan Muda, yang merupakan antara empangan penting di Kedah bagi tujuan pertanian dan kegunaan domestik, berada pada paras 9.96 peratus.

Dua lagi empangan turut dikendalikan MADA iaitu Empangan Pedu dan Empangan Ahning pula masing-masing mencatatkan takungan air sebanyak 43.1 dan 83.07 peratus. - Bernama