Hayati pengorbanan pejuang terdahulu - Sultan Selangor

Iklan
Sultan Sharafuddin

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya masyarakat sentiasa menghayati pengorbanan pejuang tanah air terdahulu dalam mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara.

Menerusi hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin bertitah, penghayatan itu penting bagi mengelakkan peristiwa penjajahan dan pencerobohan berulang khususnya dengan perubahan semasa yang menyaksikan negara berdepan pelbagai ancaman baharu.

Iklan
Iklan

Baginda juga bertitah agar rakyat tidak mensia-siakan pengorbanan pahlawan terdahulu dengan tidak membenarkan agenda musuh yang mahu merosakkan dan bersama-sama mempertahankan keselamatan serta keamanan demi masa depan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.

"Khidmat bakti dan pengorbanan mereka seharusnya dijadikan inspirasi dan semangat bagi generasi hari ini dan akan datang untuk memahami apa yang telah diperjuangkan. Sesungguhnya jerih perih para pejuang tanah air suatu ketika dahulu telah membentuk keamanan Malaysia hingga hari ini,” titah baginda bersempena dengan sambutan Hari Pahlawan pada 31 Julai ini.

Iklan

Sultan Sharafuddin juga mahu nikmat keamanan yang dikecapi hasil perjuangan pejuang terdahulu dikekalkan dan semua pemimpin bertanggungjawab berusaha memastikan rakyat tidak berpecah-belah.

Titah baginda, provokasi, budaya memfitnah, membenci dan menghasut hendaklah dijauhi sebaliknya setiap individu perlu memainkan peranan menyemai semangat hormat-menghormati, toleransi dan saling bekerjasama untuk mengekalkan kedaulatan dan keamanan negara.

Sultan Sharafuddin turut menzahirkan kekecewaan terhadap segelintir pihak yang lupa dan tidak peduli terhadap nikmat keamanan yang dinikmati sekarang hasil perjuangan perajurit yang bergadai nyawa demi negara.

Iklan

"Jika kita lupa dan tidak menghargai akan pengorbanan pahlawan negara, maka sejarah dijajah dan dihina berulang semula kerana kita tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mempertahankan kedaulatan negara dan tidak menyayangi negara sepenuh hati.

"Jauhkan sikap mementingkan diri sendiri dengan menuruti hawa nafsu yang tamak dengan pengumpulan harta kekayaan sendiri sehingga lalai dalam mempertahankan negara sehingga akhirnya negara ditadbir dan dikuasai oleh pihak musuh," titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut mengingatkan rakyat supaya tidak leka dengan hiburan yang melalaikan, fahaman sesat dan gaya hidup bebas sehingga lupa kepada tanggungjawab bersama dalam mempertahankan negara.

Titah baginda, generasi sekarang seharusnya bersedia memelihara dan mengekalkan kemerdekaan yang diwarisi hasil daripada perjuangan pahlawan terdahulu.

"Justeru, semangat pengorbanan para pahlawan lepas perlu dijadikan jiwa dan inspirasi generasi merdeka bagi menghadapi cabaran mendatang demi mengekalkan maruah dan kedaulatan negara tercinta,” titah baginda. - Bernama