Turun harga minuman bergula: KPDN runding dengan peniaga

Iklan
Armizan ditemui pemberita dalam sidang akhbar di Studio My #QuranTime, Kumpulan Karangkraf, di sini pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR.

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersedia untuk membuat rundingan bersama peniaga makanan dan minuman bagi melaksanakan gerakan kempen ‘kurang gula, kurang harga’.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara itu penting bagi memastikan penggunaan gula di peringkat nasional dapat dikurangkan demi menjaga kesihatan awam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, KPDN bersama Kementerian Kewangan (MOF) telah membentangkan status bekalan dan penggunaan gula dalam negara bagi melaksanakan kempen tersebut di peringkat nasional diketuai oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kita akan runding dan bincang bagaimana gerakan itu dapat dilaksanakan. KPDN perlu bergerak atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melihat kepada kadar penggunaan gula yang cukup tinggi di Malaysia.

Iklan

"Kalau mengikut per kapita setahun seseorang menggunakan 52 kilogram (kg) gula berdasarkan kepada perbekalan dan peningkatan kes obesiti serta diabetes.

"Semalam (Khamis) KPDN dan MOF telah bentangkan kepada Perdana Menteri tentang status bekalan dan penggunaan gula. Perdana Menteri telah mengarahkan supaya KKM melaksanakan kempen besar-besaran di peringkat nasional,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar di Studio My #QuranTime, Kumpulan Karangkraf, di sini pada Jumaat.

Sebelum ini Kempen ‘Kurang Gula, Kurang Harga’ akan diperkenalkan bagi meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai kepentingan amalan pemakanan sihat melalui pengurangan pengambilan gula dalam diet harian.

Susulan itu, sebanyak 3,500 rangkaian restoran bawah Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) seluruh negara bersetuju menurunkan harga sebanyak sepuluh sen untuk minuman teh 'o' dan kopi 'o' kurang gula selaras dengan Kempen ‘Kurang Gula, Kurang Harga’ yang bakal diperkenalkan.

Mengulas lanjut, menurut Armizan, menerusi sesi libat urus yang dilakukan bersama pihak Presma juga akan dibincangkan secara lanjut bagi memastikan agenda itu dilaksanakan secara menyeluruh.

"Cadangan yang dikemukakan oleh Presma dan melalui sesi libat urus bersama Perdana Menteri itu akan kita bincangkan dan gabungkan sekali dalam program besar di bawah KKM,” katanya.