Subsidi diesel: MITI bawa keluhan pengusaha bas kilang ke Kabinet

Iklan
Tengku Zafrul bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Pecah Tanah Plexus Bridgeview pada Jumaat. Foto Bernama

BATU KAWAN - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersedia mendengar dan akan membawa ke Kabinet keluhan pengusaha bas kilang yang tidak mendapat subsidi diesel baru-baru ini.

Menteri berkenaan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, beliau percaya isu itu telah dibangkitkan dan kementerian-kementerian berkaitan termasuk Kementerian Pengangkutan, Kementerian Ekonomi serta Kementerian Kewangan akan menjawab berhubung perkara yang dibangkitkan itu.

Iklan
Iklan

"Kita sebagai kerajaan dengar walaupun MITI sebenarnya adalah kementerian dalam sektor pembuatan, tetapi kita tetap dengar dan bawa suara mereka ke Kabinet,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Kilang keenam Plexus di Bandar Cassia di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengusaha bas kilang meminta campur tangan MITI untuk berunding dengan pihak industri agar menyemak semula perjanjian perkhidmatan bas kilang susulan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi dan bas kilang tidak termaktub dalam penyasaran itu.

Iklan

Jun lepas, lebih 1,200 pengusaha bas pekerja merayu kerajaan mempertimbangkan kemasukan sektor itu dalam Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 susulan kenaikan harga minyak diesel.

Kerajaan menetapkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter bermula 10 Jun 2024 iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.

Iklan

Penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar ini memberikan penjimatan sebanyak RM4 bilion setahun di samping dapat mengukuhkan kedudukan kewangan negara dalam jangka masa panjang. - Bernama