Pemberian khas: Sabah sedia, mampu mulakan rundingan lanjut

Iklan
Brenndon Keith Soh

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah tetap bersedia dan mampu untuk memulakan rundingan lanjut mengenai pemberian khas yang selaras dengan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, kata Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh.

Beliau berkata, perkara itu berikutan maklum balas Kementerian Kewangan kepada pertanyaan di Parlimen pada 16 Julai, bahawa kerajaan melalui Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JTMTPMA63) komited untuk membincangkan kadar pemberian khas baharu untuk Sabah.

Iklan
Iklan

Brenndon berkata, penting untuk mengesahkan bahawa Sabah secara penyelesaian interim, tanpa menjejaskan hak perlembagaannya telah menerima peningkatan pembayaran pemberiaan khas dengan kerajaan Persekutuan bersetuju untuk membayar RM125.6 juta pada 2022 dan RM300 juta tahun lepas.

"Selaras dengan Perkara 112D (6) Perlembagaan Persekutuan, sekiranya kedua-dua kerajaan Persekutuan dan Sabah tidak dapat mencapai persetujuan mengenai mana-mana perkara berkaitan semakan pemberian khas, perkara tersebut hendaklah dirujuk kepada penaksir bebas dan syor penaksir bebas mengenai perkara itu hendaklah mengikat kepada kedua-dua kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada interim arrangement yang dipersetujui kerajaan Sabah dan kerajaan Persekutuan serta memastikan rundingan yang telus dan konstruktif antara pihak-pihak, data kewangan yang melibatkan hasil diperolehi daripada Sabah hendaklah didedahkan.

Brenndon berkata, data kewangan kritikal yang diperlukan melibatkan hasil sebenar diperoleh kerajaan Persekutuan antaranya daripada cukai, duti kastam, lesen, yuran dan denda di Sabah.

Iklan

Secara dalaman beliau berkata, Jawatankuasa Penyemakan Nilai Pemberian Khas Negeri Sabah terdiri daripada anggota utama perkhidmatan awam termasuk Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah, Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Jabatan Bendahari Negeri Sabah dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri Sabah bersama dengan penasihat bebas profesional, telah ditubuhkan.

"Telah dimaklumkan bahawa sejak 2022, tidak kurang daripada lapan permohonan rasmi telah dibuat kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan data kewangan penting. Data kewangan tidak dikongsi dan atau tidak lengkap. Oleh itu, isu ini telah dibawa ke JTMTPMA63 pada 28 Mei 2024.

"Daripada memanjangkan perkara itu, kerajaan negeri memaklumkan kepada JTMTPMA63 bahawa mereka akan mengambil inisiatif untuk mengira hasil bersih yang perlu dibayar, berdasarkan kepada data kewangan terhad yang ada,” katanya.

Brenndon berkata, JTMTPMA63 telah dimaklumkan Kementerian Kewangan Malaysia bahawa rundingan akan diadakan secara berasingan pada bulan Jun 2024.

Beliau berkata, memandangkan kekangan dari segi masa dan data, Jawatankuasa Penyemakan Nilai Pemberian Khas Negeri Sabah telah menyediakan tuntutan rasmi yang dikemas kini sebagai persediaan untuk rundingan yang akan diadakan.

"Tuntutan tersebut telah dihantar kepada Kementerian Kewangan pada 18 Jun 2024 dengan surat susulan pada 11 Julai 2024. - Bernama