PERENANG negara, Khiew Hoe Yean teruja untuk penampilan sulungnya di Sukan Olimpik Paris 2024 dalam acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki.
Atlet berusia 21 tahun itu, yang menyasarkan memperbaiki masa peribadi 3:48.36 saat(s) dicatatkan pada Kejohanan Australia, dijangka berdepan saingan sengit daripada beberapa perenang terkemuka dunia.
Hoe Yean, pemenang dua kali pingat emas Sukan SEA, akan memulakan renangan di Arena La Defense di Saringan 2.
Hanya lapan perenang terbaik daripada 38 peserta dalam saringan itu akan mara ke peringkat akhir.
"Saya semakin teruja apabila perlumbaan semakin hampir. Pengalaman di sini pasti berbeza, memenuhi jangkaan acara berbilang sukan yang besar dan menemui banyak perkara baharu yang saya tidak pernah lihat sebelum ini.
"Ini adalah peringkat di mana atlet terhebat berkumpul untuk bersaing pada tahap terbaik mereka. Saya juga gembira dapat bertemu rakan renang saya dari Australia, Sam Short. Seronok dapat melihatnya di sini semula,” katanya.
Setelah menerima slot wild card untuk acara itu, Hoe Yean berkata, walaupun cuaca musim panas Paris menggalakkan, dia berharap semuanya boleh menjadi lebih sejuk.
OLIMPIK PARIS 2024
BADMINTON (Porte De La Chapelle Arena)
Peringkat Kumpulan:
Beregu Campuran
Chen Tang Jie-Toh Ee Wei lwn Hee Yong Kai-Jessica Tan (Singapura), 3.20 petang
Beregu Lelaki
Aaron Chia-Soh Wooi Yik lwn Ben Lane-Sean Vendy (Great Britain), 4.10 petang
Beregu Wanita
Pearly Tan-M.Thinaah lwn Chen Qing Chen-Jia Yi Fan (China), 4.10 petang
MENEMBAK (Chateauroux Shooting Centre)
Pusingan Kelayakan:
Lelaki 10 meter (m) Air Pistol
Johnathan Wong - 4.30 petang
RENANG (Paris La Defense Arena)
Saringan:
400m Gaya bebas Lelaki
Steve Khiew - 5.45 petang
Akhir: (jika layak) 2.42 pagi (Ahad)