WALAUPUN terdapat cerita mengenai jurumasak bertaraf Michelin yang membantu menyediakan menu di Paris, Ketua Eksekutif Persatuan Olimpik British, Andy Anson mengadu bahawa makanan di Perkampungan Olimpik 'tidak mencukupi', dengan rungutan mengenai saiz hidangan yang kecil dan kekurangan makanan tinggi protein.
"Terdapat kekurangan makanan tertentu - telur, ayam, karbohidrat tertentu," kata Anson kepada akhbar The Times, lapor Xinhua.
Beliau juga mengadu tentang kualiti makanan, dengan daging mentah dihidangkan kepada atlet.
"Mereka perlu memperbaikinya dengan ketara dalam beberapa hari akan datang," katanya.
Dalam usaha untuk menyelesaikan isu itu, Kontinjen Great Britain (GB) akan menerbangkan seorang jurumasak untuk menyediakan makanan di rumah prestasi mereka di Daerah Clichy, Paris.
"Atlet kami memutuskan mereka lebih suka pergi makan di rumah prestasi kami di Clichy, jadi kami perlu mendapatkan seorang lagi jurumasak kerana permintaan jauh melebihi jangkaan kami," jelas Anson, sambil menambah bahawa atlet juga membawa makanan dibungkus untuk makan malam mereka.
"Kami cuba memastikan atlet kami mempunyai kelebihan dengan mendapatkan lebih banyak makanan. Ini adalah isu terbesar pada masa ini," katanya.
Sekitar 40,000 hidangan disediakan di Perkampungan Atlet setiap hari untuk sebuah restoran yang boleh menampung 3,300 orang, dengan seorang jurucakap mengatakan penganjur sedang berusaha untuk meningkatkan bekalan. - Bernama-Xinhua