Bach akui perasaan tersentuh bawa obor

Iklan
Pengerusi Suruhanjaya Atlet IOC, Emma Terho (kiri) dan Thomas Bach mengambil bahagian dalam acara larian obor kampung Olimpik di Kampung Olimpik Paris, menjelang perasmian Paris 2024. Foto AFP

OBOR Sukan Olimpik Paris diarak melalui perkampungan atlet pada Jumaat, dipimpin legenda Olimpik, Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach dan ahli Suruhanjaya Atlet IOC.

Bach berkata, perasaannya selalu tersentuh apabila membawa obor itu, namun lebih istimewa untuk melakukannya di perkampungan Olimpik.

Iklan
Iklan

Ketua Olimpik itu menerima obor daripada sekumpulan legenda sukan antarabangsa, termasuk bekas pelumba ski, Lindsey Vonn; bekas pemain bola keranjang, Pau Gasol dan bekas bintang basikal trek, Chris Hoy.

Pemain bola baling Perancis, Cleopatre Darleux menyerahkan obor itu kepada Bach di hadapan unit penginapan pasukan Belanda, dan Presiden IOC tersebut kemudian menyerahkan obor berkenaan kepada Emma Terho, Pengerusi Suruhanjaya Atlet IOC di hadapan penginapan kontinjen Amerika Syarikat.

Iklan

Beberapa atlet keluar dari penginapan mereka menyaksikan larian itu sambil bertepuk tangan, mengambil gambar dan video malah ada juga yang menyertai perarakan tersebut.

Temasya di Perancis itu secara rasmi dibuka di Seine pada awal pagi Sabtu. - Bernama

Iklan