‘Saya nak rasai pengalaman sukan rakyat orang dahulu’

Iklan
Aktiviti sukan rakyat menjadi acara yang paling dinanti-nantikan oleh murid dan guru.

SHAH ALAM - Acara sukan rakyat di Karnival Rakyat Karangkraf menjadi aktiviti yang paling dinanti-nantikan oleh murid-murid dan guru kerana ia membawa kelainan dan pengalaman berbeza.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sri Damansara 2, Muhammad Aizam Aiman Saari berkata, sebelum ini dia tidak mengetahui kewujudan sukan tradisional seperti tating lawi, tuju tin dan sebagainya.

Suasana hari pertama Hari Kantin Karnival Rakyat Karangkraf pada Jumaat.

Iklan
Iklan

"Kami (Generasi Z) hanya tahu e-sukan dan sama sekali tidak pernah didedahkan dengan permainan tradisional. Jadi aktiviti sukan rakyat menjadi tujuan utama saya mengikuti rombongan sekolah pada hari ini (Jumaat).

"Saya mahu merasai pengalaman yang ‘orang dahulu’ lakukan. Saya tidak sangka aktiviti ini begitu menyeronokkan kerana ia benar-benar lain dengan permainan anak muda zaman kini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Jumaat.

Muhammad Aizam Aiman

Iklan

Muhammad Aizam Aiman berkata, melalui aktiviti sukan rakyat itu, dia berupaya untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan mengatur strategi.

Jelasnya, pengalaman berkomunikasi dalam permainan e-sukan adalah berbeza kerana ia melibatkan pertemuan empat mata.

Iklan

"Memandangkan kesemua murid yang terlibat tidak pernah didedahkan dengan sukan tradisional, bagi saya ia adil kerana semua bermula daripada kosong,” ujarnya.

Pelajar, Ahmad Darwisy Razali, 17, pula berkata, Karnival Rakyat Karangkraf merupakan platform yang membantu mereka untuk memperkukuhkan hubungan sosial, komunikasi dan berfikir.

Ahmad Darwisy

Menurutnya, aktiviti-aktiviti yang diadakan di karnival itu membantu murid-murid memupuk semangat berpasukan.

"Hari ini saya hadir kerana pihak sekolah (SMK Bandar Sri Damansara 2) menghantar seramai 10 orang wakil murid untuk menyertai sukan rakyat.

"Ini merupakan kali pertama saya dan rakan-rakan menyertai sukan rakyat. Memandangkan kami tidak pernah main, jadi agak sukar untuk merancang strategi. Semuanya bergantung kepada komunikasi sahaja,” katanya.

PEMBELAJARAN DI LUAR KELAS

Guru Pendidikan Jasmani Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Kebun, Abdul Munir Abd Rahman pula menyifatkan Karnival Rakyat Karangkraf sebagai satu platform pembelajaran di luar kelas.

Abdul Munir

Menurut Abdul Munir, beliau tidak melihat pesta itu sebagai acara keseronokan semata-mata sebaliknya tempat murid-murid untuk memperoleh pengalaman baharu.

Katanya, karnival itu melibatkan penyertaan ramai pihak dan dapat membantu murid-murid membina karakter baharu dalam diri mereka.

Pelbagai aktiviti menarik yang disediakan sepanjang tiga hari berlangsungnya Karnival Rakyat Karangkraf antaranya dikir barat, puisi lagu, sukan rakyat dan sebagainya.

"Murid-murid boleh menggunakan peluang ini untuk menambah baik kemahiran berkomunikasi, sosial dan membina hubungan dengan peserta sekolah lain.

"Oleh itu, pihak sekolah menghantar sebanyak sembilan buah bas bersamaan 333 murid untuk mengikuti acara pada hari ini,” ujarnya.

INFORMASI BERMANFAAT

Pekerja swasta, Rohana Abdul Rahim, 38, pula berkata, Karnival Rakyat Karangkraf merupakan acara yang penuh dengan informasi bermanfaat untuk ibu bapa dan anak-anak.

Rohana hadir bersama suami dan dua orang anak untuk menyokong cahaya mata sulung yang menyertai pertandingan dikir barat.

"Hari ini saya mengambil cuti tahunan kerana mahu memberi sokongan kepada anak sulung yang bertanding dalam acara dikir barat.

"Di samping itu, saya dan suami turut berpeluang membawa dua lagi cahaya mata untuk melihat reruai-reruai yang menarik seperti pameran bomba, polis dan sebagainya,” katanya.

Rohana berharap agar pihak Karangkraf menjadikan karnival ini sebagai acara tahunan kerana ia manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Karnival Rakyat Karangkraf berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 di sini.

Program yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 7 malam itu dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-18 Sinar Harian.