'Kami nak ibu sihat, nak macam dulu'

Iklan
Azilah diserang strok awal bulan ini.

REMBAU -"Kami nak ibu sihat, nak macam sebelum ini".

Itu harapan dua beradik, Muhammad Hasif Haikal Abd Manaf, 16, dan Nur Imanja Hanan, 14, selepas ibu mereka, Azilah Abd Hamid, 48, terlantar sakit akibat diserang strok semasa menjaga datuknya di Hospital Rembau, di sini awal bulan ini.

Iklan
Iklan

Muhammad Hasif berkata, rutin harian mereka berubah sepenuhnya selepas ibunya terlantar sakit.

Muhammad Hasif

"Saya harap ibu cepat sihat, nanti dapat hantar kami pergi sekolah dan buat macam-macam perkara seperti dahulu," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediaman datuknya di Rumah Rakyat Chengkau pada Jumaat.

Iklan

Azilah yang merupakan ibu tunggal berkata, dia diserang strok pada 2 Julai lalu ketika menjaga bapanya yang sakit di hospital.

"Ketika itu kakitangan hospital nampak saya lain macam, lalu mengarahkan saya duduk seketika sementara menunggu bantuan.

Iklan

"Saya kemudiannya disahkan mengalami strok yang mana sebelah badan kiri saya lumpuh dan kini hanya terlantar di rumah.

"Buat masa ini, adik saya, Aniyah yang menjaga dan menguruskan persekolahan anak-anak," katanya yang mempunyai penyakit darah tinggi.

Nur Imanja ketika berbual bersama Azilah.

Azilah yang merupakan anak sulung dari tujuh beradik itu positif dirinya akan segera pulih dengan menjalani rawatan yang disarankan pihak hospital secara konsisten selain urutan tradisional.

"Saya mahu kembali pulih untuk bantu uruskan bapa dan bekerja seperti biasa. Sebelum ini saya kerja dengan membantu Aniyah menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan selain bergantung dengan pencen ilat arwah suami yang meninggal dunia tahun lalu.

"Saya mahu segera sihat agar boleh memandu kereta semula, nak hantar anak pergi dan balik sekolah.

"Jika saya masih tak sihat, saya masih perlu memakai lampin pakai buang dan kos perbelanjaan bulanan juga pasti meningkat,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan buat masa ini, keluarganya saling membantu mencukupkan keperluan kerana masih belum memohon bantuan dari mana-mana agensi, namun baru-baru ini mereka mendapat bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) Perkasih.

Orang ramai yang berhasrat untuk membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan terus dengan menghubungi Azilah di talian 012-397 5476.