KOTA BHARU - Pakar kewangan menasihatkan orang ramai yang ingin melabur supaya menyelidik terlebih dahulu latar belakang dan kesahihan instrumen, individu atau syarikat yang menawarkan pelaburan bagi mengelak kerugian akibat ditipu.
Pakar kewangan pengguna, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, perkembangan teknologi kini mewujudkan pelbagai platform pelaburan di media sosial lebih mudah diakses seperti Telegram, Facebook, Instagram, TikTok serta sebagainya.
Beliau yang juga Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, lebih bahaya apabila pelaburan yang banyak ditawarkan media sosial terutama Telegram dilihat longgar daripada aspek keselamatan seperti secara tiba-tiba boleh berada di dalam kumpulan pelaburan yang tidak dikenali di akaun Telegram masing-masing.
"Sebagai pengguna atau pelabur yang bijak jangan mudah terpedaya dengan tawaran-tawaran pelaburan tidak masuk akal misalnya melabur RM1,000 tiap-tiap bulan dapat pulangan dua per sen setiap bulan.
"Bakal pelabur perlu memastikan syarikat atau agensi yang menawarkan pelaburan itu berdaftar, mempunyai lesen dan tidak disenarai hitam oleh Bank Negara Malaysia serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Menurut Profesor Dr Mohamad Fazli, semakan juga boleh dilakukan melalui pihak berautoriti termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain merujuk kepada pakar-pakar bertauliah dan berkemahiran dalam pelaburan sebelum melabur.
"Apabila menerima satu tawaran pelaburan, jangan terus teruja kerana semangnya modus operasi scammer akan memberikan pelbagai tawaran menarik melalui pelaburan rendah dengan pulangan yang tinggi untuk mudah menjerat mangsa selain mempamerkan kemewahan untuk menipu orang ramai,” katanya.
Justeru itu, beliau menyarankan bakal pelabur untuk memilih atau membuat pelaburan di agensi-agensi yang sudah sememangnya sahih dan diiktiraf oleh kerajaan.
"Banyak instrumen-instrumen pelaburan yang selamat seperti unit amanah, pelaburan emas atau lebih mudah sebagai contoh simpanan dan pelaburan di bawah Permodalan Nasional Berhad.
"Tetapi masalah orang kita nak cepat kaya, cepat tambah untung. Tak ada pelaburan sebegitu kecuali taktik yang digunakan oleh scammer.
"Ada juga pilihan pelaburan di bank-bank yang menawarkan pelbagai produk seperti akaun simpan, akaun semasa, akaun pelaburan dan simpanan emas malah bank-bank juga kini menggunakan aplikasi dalam talian serta boleh dipercayai,” ujar beliau.
Sebelum ini, polis mendedahkan semua pelaburan yang menggunakan medium di aplikasi Telegram adalah scammer dan mengingatkan masyarakat supaya tidak terpedaya.
Dalam pada itu, Profesor Dr Mohamad Fazli berkata, dalam bidang pelaburan, bakal pelabur perlu membuat persiapan antaranya mengenal pasti toleransi diri terhadap risiko sebelum melabur selain mempelbagaikan pelaburan bagi mengelak kerugian besar sekiranya tertumpu pada satu pelaburan sahaja.
"Pelaburan tetap akan ada risiko untung atau rugi. Ada risiko rendah, sederhana dan tinggi, lagi tinggi risiko maka lebih tinggi potensi pulangan pelaburan atau kerugian.
"Seperti pelaburan saham berpotensi mendapat pulangan setinggi 30 peratus sehari tetapi perlu bersedia kerugian 30 peratus juga dalam sehari.
"Bagi yang tidak sanggup berdepan kehilangan modal, bermakna toleransi terhadap risiko adalah rendah, maka potensi pulangan juga rendah.
"Selainnya, pelbagaikan pelaburan sama ada emas, saham atau simpanan untuk elak kerugian serentak,” katanya.