HULU TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Biarpun usianya sudah menginjak 73 tahun, seorang warga emas masih menggagahkan diri ke hutan bagi mencari sumber ubatan dan tumbuhan herba tradisional bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Yusof Mat Tahir atau lebih mesra digelar Pok Usop berkata, perkongsian khasiat ubatan tradisional Melayu yang diperoleh daripada golongan terdahulu menjadi permulaan kepadanya untuk terus berkecimpung dalam penyediaan ubatan tradisional.
Menurutnya, ketika ini pelbagai jenis ubatan tradisional dijual antaranya air rebusan atau batang ubi gegeli kering, akar dan daun pokok serapat, akar meriam seribu, mengkuang hutan serta beberapa lagi herba terpilih.
"Ubi gegeli ni hanya tumbuh di kawasan berpaya atau di dalam air. Kalau cari di kawasan darat memang tak akan jumpa pokok ini.
"Nak tanam sendiri pun ia payah tumbuh melainkan rumah kita dekat dengan kawasan paya.
"Saya jarang jumpa pokok ubi gegeli ni. Biasanya saya akan dapat di kawasan ladang kelapa sawit atau di kawasan tertentu seperti kawasan sungai di Kampung Langgar," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya dekat Kampung Dura, di sini, baru-baru ini.
Yusof memberitahu, ubi gegeli yang diperoleh akan melalui beberapa proses sebelum sedia untuk dibungkus dan dijual kepada pelanggan.
Katanya, kaedah perubatan menggunakan tumbuhan itu dilakukan sejak lima tahun lalu.
Sementara itu, isterinya, Halimah Deraman, 66, berkata, kaedah penyediaan ubatan tradisional itu agak rumit dan memakan masa selama lebih dua minggu untuk disiapkan.
Menurut Halimah, proses pembuatannya dimulakan dengan memotong batang ubi gegeli dan membersihkan duri tajam yang terdapat pada permukaan ubi tersebut.
"Batang yang telah dibersihkan dihiris menjadi kepingan kecil dan dijemur sehingga kering. Selepas itu ubi yang kering akan direbus menggunakan kaedah sukatan air.
"Untuk menghasilkan air rebusan yang mujarab ia perlu direbus menggunakan tiga cawan air yang dipanaskan sehingga menggelegak dan hanya tinggal sukatan satu cawan air untuk diminum,” jelasnya.
Halimah berkata, bagi pelanggan yang datang ke rumah mereka akan mendapatkan ubi yang telah dikeringkan dan akan diberi penerangan mengenai kaedah rebusan air tersebut.
Katanya, setiap sebungkus ubatan itu dijual RM20 dan akan akan dihantar secara pos kepada pelanggan yang jauh,” katanya.